Anda di sini

FAS, KDFA jalinkan kerjasama

Advertisement
 Posa (lima kanan) bersalaman dengan Fazzrudin sambil disaksikan barisan exco FAS dan KDFA di Kuching semalam.
KERJASAMA: Posa (lima kanan) bersalaman dengan Fazzrudin sambil disaksikan barisan exco FAS dan KDFA di Kuching semalam.

KUCHING: Persatuan Bola Sepak Negeri Sarawak (FAS) dan Persatuan Bola Sepak Bahagian Kuching (KDFA) bersetuju menjalinkan kerjasama dalam usaha mengangkat martabat bola sepak negeri ini. 

Presiden FAS, Datuk Posa Majais berkata kerjasama itu sangat penting kerana kedua-dua badan itu akan membawa nama Sarawak dalam saingan Liga Malaysia 2020 iaitu Sarawak United FC dan Kuching FA.

Menyifatkan kerjasama itu seperti hubungan ‘bapa dan anak’, Posa menjelaskan kerjasama kedua-dua badan bola sepak tempatan itu akan mencakupi perlbagai aspek termasuk perkongsian kepakaran yang boleh membantu memajukan kedua-dua pasukan.

“Hari ini (semalam) hari bersejarah untuk FAS dan Kuching, ‘bapa dan anak’ duduk semeja berbincang mengenai apa yang terlepas pandang. Justeru, saya menyeru semua penyokong memberikan sokongan padu kepada kedua-dua pasukan.

“Sukan boleh menyatukan masyarakat kita tanpa mengira bangsa,” katanya selepas perjumpaan tertutup bersama Exco FAS dan KDFA di sini semalam.

Dalam pada itu, Presiden KDFA Fazzrudin Abdul Rahman menyambut baik kerjasama itu sambil berkata ia perlu dan penting untuk meningkatkan mutu bola sepak kedua-dua pasukan dan Sarawak secara amnya.

Beliau juga berharap kerjasama itu menyatukan penyokong kedua-kedua pasukan membawa jenama sama dari Sarawak apabila bertanding pada Liga Premier 2020 bakal bermula 28 Februari ini.

“Memandangkan kita merupakan ahli gabungan FAS, justeru wajar bagi KDFA memaklumkan kepada Datuk Posa perkembangan terkini dan beliau mencadangkan beberapa kerjasama boleh dilakukan antara FAS, SUFC dan Kuching FA,” katanya.

Advertisement