Anda di sini

Dapatkah filem bahasa asing menangi Hollywood?

Advertisement
__alt__

KETIKA Bong Joon-ho dari Korea Selatan menerima anugerah Golden Globe bagi filem bahasa asing terbaik untuk ‘Parasite’ yang dipuji ramai, dia menggesa penonton filem untuk “mengatasi halangan sarikata setinggi satu inci”.

“Anda akan diperkenalkan kepada begitu banyak lagi filem yang menakjubkan,” katanya, untuk membuka semula perdebatan yang sudah sekian lama menghantui Hollywood, dapatkah filem bukan bahasa Inggeris menembusi aliran utama Amerika Syarikat (AS)?

‘Parasite’, sebuah komedi gelap yang tajam mengenai perbezaan kelas, telah menerima enam pencalonan Oscar, termasuk untuk filem terbaik dan pengarah terbaik.

Selepas filem itu memenangi hadiah utama dari Screen Actors Guild dalam satu kejutan yang besar, ada yang percaya ia dapat menang besar di Anugerah Akademi, tetapi itu memang akan mencipta sejarah.

Belum pernah penerbitan bukan bahasa Inggeris memenangi anugerah Oscar untuk filem terbaik.

Bagi ramai, halangan sarikata adalah lebih daripada satu inci tinggi. Ia menuntut anda untuk memberi tumpuan kepada bahagian bawah skrin, yang bermakna anda mungkin akan terlepas visual penting.

Bagaimanapun ada juga yang berkata sarikata meningkatkan lagi fokus kepada sesebuah filem.

Pada akhirnya, bahasa Inggeris merupakan lingua franca di Hollywood dan dalam pasaran Amerika Utara yang amat penting - menjadikannya bahasa musim anugerah juga.

Fredell Pogodin, seorang pegawai publisiti veteran yang sudah bekerja untuk mempromosikan ratusan buah filem, termasuk filem-filem asing yang pernah memenangi anugerah Oscar ‘Roma’, ‘Mediterraneo’ dan ‘Koyla’, berkata halangan bukan sahaja bahasa; ia adalah kandungan.

“Ia bukan hanya kerana sarikata, ia dianggap ada ciri-ciri kesenian di sini, sebagai permulaan. Ia bukan aliran utama,” kata Pogodin kepada AFP.

“Terdapat audiens tertentu untuknya. Ia amnya lebih tinggi nilainya,” katanya, yang bermakna ia adalah sukar untuk meyakinkan penonton biasa di Amerika untuk membelanjakan wang bagi membaca sebuah filem.

‘MIOPIA KEBUDAYAAN’

‘Parasite’ menceritakan tentang sebuah keluarga miskin di Seoul yang perlahan-lahan meletakkan diri di dalam kehidupan sebuah klan kaya, satu proses yang berakhir dengan tragedi.

Ia setakat ini mengaut kira-kia AS$31 juta di box office AS, dan lebih AS$160 juta di seluruh dunia, menurut penjejak industri Box Office Mojo.

Pujian kritik dan cakap-cakap mengenai anugerah Oscar bagi filem itu menarik penonton ke pawagam, tetapi jualan tiketnya ternyata jauh rendah berbanding apa yang diperolehi sebuah filem blokbuster tradisional.

Malah filem indie atau bebas dalam bahasa Inggeris jarang menjadi emas box office.

“Penonton filem biasa di Amerika menonton antara tiga hingga lima buah filem di pawagam setahun,” kata Tom Nunan, selaku penerbit ‘Crash’, yang memenangi anugerah Oscar bagi filem terbaik.

“Anda fikir mereka akan menonton sebuah filem Korea? Sarikata? Lupakan sahaja.”

Pogodin, yang kini sudah bersara, berkata kempen Oscar bagaimanapun pada amnya tidak dibina sekitar audiens harian, mereka dibina sekitar pujian kritik, dan publisiti festival filem.

Namun Nunan, yang menyatakan dia adalah sebahagian daripada “golongan ‘arthouse’ yang paling elit di bahagian barat Los Angeles”, menegaskan kawannya sendiri bertanya sama ada sesebuah filem itu dalam bahasa asing ataupun tidak sebelum mereka pergi ke pawagam.

Justin Chang, seorang pengkritik filem untuk akhbar Los Angeles Times, menulis bahawa dengan komennya di Anugerah Globe, Bong “seakan-akan menegur miopia kebudayaan di Hollywood sendiri, yang memperuntukkan hadiah istimewa setiap tahun untuk filem yang dibuat di negara di luar AS dan dalam bahasa lain selain bahasa Inggeris”.

Sementara ‘Parasite’ bukan pilihan untuk anugerah filem terbaik, ia adalah pilihan utama untuk memenangi hadiah bagi filem asing terbaik, sekarang dipanggil cereka antarabangsa terbaik.

“Pemberian anugerah ini selalunya satu tanda menjatuhkan maruah seseorang yang menyamar sebagai sesuatu yang inklusif,” Chang menulis.

‘BAHASA TIDAK PENTING’

Budaya pop amnya adalah dunia bahasa Inggeris: muzik, televisyen, filem, slogan pemasaran bagi jenama-jenama besar – semuanya dalam bahasa Inggeris dan biasanya tdiak diterjemah di seluruh dunia.

Untuk sampai kepada audiens yang lebih luas, beberapa penerbit bukan Inggeris sedang berusaha untuk menguasai bahasa Inggeris … walaupun filem dan pelakon mereka datang dari tempat lain.

Itulah kesnya bagi ‘Loving Pablo’, sebuah filem pada 2017 tentang mendiang raja dadah Colombia Pablo Escoar yang dibintangi aktres dari Sepanyol Penelope Cruz dan Javier Bardem dan difilemkan dalam Inggeris.

“Peraturan di pasaran tidak memberi ruang kepada filem dengan bajet sebanyak lima atau enam juta euro untuk dibuat dalam bahasa Sepanyol,” kata Bardem kepada AFP sebelum tayangan perdana bagi filem berkenaan.

“Pada akhirnya, kisah diceritakan dengan baik – bahasa tidak penting.”

Gergasi striming Netflix melihatnya dengan berbeza – ketika ia melancarkan sirinya ‘Narcos’, juga mengenai Escobar, ia dibuat dalam bahasa Inggeris dan Sepanyol dengan cara yang tidak menolak peminatnya. Pesaingnya sudah menyertai perkembangan ini.

Pada bulan ini, Apple TV+ melancarkan ‘Little America’, sebuah siri antologi mengenai pendatang – dialog adalah campuran Sepanyol, Hindi, Arab dan Inggeris, selain bahasa lain.

“Sesuatu yang begitu indah sekali untuk merasai bahawa kita mendalami bahasa lain tetapi masih memahami apa yang sedang berlaku,” kata Emily Gordon, yang merupakan seorang penerbit siri bersama suaminya yang juga pelakon Kumail Nanjiani.

“Saya rasa ia agak ajaib,” katanya. “Saya tidak dapat selalu mendengar apa yang sedang berlaku dan saya mahu dapat membaca.”

Mungkin Gordon dapat membantu orang lain melompat di atas halangan setinggi satu inci. — AFP

Advertisement