Anda di sini

Chong gesa Kerajaan Sarawak tangguh atau batal cukai jualan ke atas tayar 

Advertisement
Chong (tengah) menunjukkan surat yang dikeluarkan Jabatan Perbendaharaan Negeri bagi memaklumkan mengenai cukai jualan yang dikenakan ke atas tayar.
Chong (tengah) menunjukkan surat yang dikeluarkan Jabatan Perbendaharaan Negeri bagi memaklumkan mengenai cukai jualan yang dikenakan ke atas tayar.

KUCHING: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak, Chong Chieng Jen menggesa kerajaan negeri menangguhkan atau membatalkan keputusan untuk mengenakan Cukai Jualan Negeri (SST) ke atas tayar import. 

Chong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa berkata keputusan kerajaan negeri untuk mengenakan cukai ini hanya akan membebankan pengusaha kedai tayar termasuk penjual kenderaan dan rakyat secara amnya. 

“Satu surat telah dikeluarkan oleh Jabatan Perbendaharaan Negeri memaklumkan semua pengusaha kedai tayar dan penjual kenderaan mengenai cukai ini. 

“Cukai ini bukan sahaja dikenakan kepada tayar import tetapi juga tayar yang dipasang pada kenderaan yang diimport ke Sarawak pada kadar berbeza mengikut jenis tayar sehingga RM50 satu unit tayar. 

“Saya rasa ini merupakan satu bebanan ke atas rakyat ditambah dengan situasi pada masa kini dimana kos sara hidup adalah tinggi,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Sambutan Perayaan Tahun Baru Cina 2020 di Kampung Selangan Batu, Pending di sini hari ini. 

Tambah Chong yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, beliau berharap keputusan untuk mengenakan SST ke atas tayar dibatalkan demi rakyat. 

Dalam pada itu, Jabatan Perbendaharaan Negeri menerusi surat bertarikh 23 Januari 2020 memaklumkan bahawa SST ke atas tayar import dan tayar yang dipasang pada kenderaan import ini dikenakan berkuat kuasa 1 Januari  2020. 

Sehubungan itu semua pihak yang berkenaan dinasihatkan untuk mendaftar sebagai pembayar cukai mengikut Seksyen 10 (1) Ordinan Cukai Jualan Negeri, 1998 dan Peraturan 3, Peraturan Cukai Jualan Negeri, 1998. 

Kegagalan berbuat demikian adalah satu kesalahan dan boleh dikenakan dengan RM20,000 dan jika kesalahan berterusan denda tambahan RM2,000 setiap hari dikenakan bagi tempoh lanjutan kesalahan.
 

  • oleh
  • Advertisement