Anda di sini

Doktor wira Syria jadi tumpuan dengan pencalonan Anugerah Oscar

PARIS: Dia merawat ratusan orang di sebuah hospital bawah tanah dalam sebuah wilayah pemberontak di Syria. Sekarang Amani Ballour, doktor yang menjadi tumpuan dokumentari yang dicalonkan untuk anugerah Oscar ‘The Cave’, menjadi tumpuan utama.

Namun pakar pediatrik berusia 32 tahun itu, yang masih dihantui kanak-kanak nazak dan cacat yang dia rawati, berharap perhatian yang telah diperolehi filem itu dapat mengingatkan dunia bahawa kekejaman perang Syria bakal memasuki tahun kesembilan.

“Bagi saya, ia bukan sebuah filem, ia adalah kehidupan saya, realiti saya,” kata Dr Ballour kepada AFP sebelum dia mendapatkan visa untuk membolehkannya menghadiri majlis Anugerah Oscar di Los Angeles pada Ahad.

Filem selama 102 minit yang mengusik hati itu menunjukkan doktor itu bukan sahaja bergelut untuk menghidupkan kanak-kanak yang cedera dalam bilik bedahnya di bekas kubu kuat pemberontak di Ghouta Timur, tetapi juga terpaksa menangani seksisme sebagai seorang wanita yang bertanggungjawab ke atas sebuah hospital di Syria.

‘The Cave’ merupakan satu daripada dua buah filem yang mengejutkan mengenai konflik berkenaan yang merebut anugerah Oscar bersama filem arahan Waad al-Kateab yang berlatarbelakangkan Aleppo ‘For Sama’, yang memenangi dokumentari terbaik di Festival Filem Cannes pada Mei tahun lepas.

‘NERAKA DI BUMI’

“Pencalonan Oscar ini akan membantu menarik perhatian kepada perjuangan Syria, dan kami harap membantu mendorong orang untuk menyokong kami,” kata Ballour, yang tinggal di Turki sejak Ghouta Timur tumbang selepas kepungan selama lima tahun pada 2018.

Wilayah pemberontak itu digambarkan sebagai ‘Neraka di Bumi’ oleh Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Antonio Guterres ketika ia diserang oleh tentera Presiden Bashar al-Assad.

Dengan peperangan yang masih berlaku di Syria, setengah juta penduduk sudah lari dari kampung halaman mereka sejak dua bulan lepas disebabkan oleh operasi serangan yang dilancarkan oleh kerajaan Assad dan sekutunya Rusia di bahagian barat laut negara.

Pelarian yang telah dicetuskannya merupakan antara yang terbesar dalam peperangan itu.

Seperti jutaan warga Syria yang terpaksa meninggalkan rumah mereka, Ballour berkata dia mendapati ia sukar untuk rasa aman dengan dirinya sendiri dalam buangan.

“Ketika saya berada di kampung halaman, saya dapat membantu orang, saya lebih tenang walaupun mengalami semua kesukaran, serangan bom, kelaparan dan tragedi yang kami saksikan setiap hari,” katanya.

Sebaliknya, wanita muda itu yang baharu sahaja memenangi Hadiah Raoul Wallenberg dari Majlis Eropah kerana “amalan kemanusiaannya yang luar biasa”, dihantui penderitaan yang dialami ribuan pesakit kanak-kanaknya.

“Kanak-kanak itu tidak memahami apa-apa. Mereka selalu bertanya apa yang sedang berlaku, kenapa mereka mengebom kami, kenapa mereka lapar. Ia sangat sukar untuk menjelaskan kepada mereka,” kata doktor itu.

Dia khususnya tersentuh oleh seorang budak lelaki berusia 11 tahun, Abdel Rahmane, yang berada di sekolah ketika kelasnya terkena bom dan mencederakan kebanyakan rakan sekelas.

‘DI MANAKAH KAKI-KAKI SAYA?’

“Dia kehilangan kedua-dua kakinya. Apabila dia bangun dari anestetik, dia bertanya, ‘Di manakah kaki-kaki saya? Kenapakah anda memotongnya?’”

“Kita tidak dapat merenung mata kanak-kanak itu ketika kita merawat mereka, tidak ada seorang pun daripada kami yang dapat,” tambahnya.

Memori paling sukar ialah hari apabila kawasan berkenaan diserang dengan gas racun sarin pada Ogos 2013. Sekurang-kurangnya 1,429 orang, 426 daripadanya kanak-kanak, terkorban dalam serangan itu yang didakwa dilakukan oleh kerajaan Assad, menurut statistik Amerika Syarikat.

“Dalam ‘The Cave’, hospital di sana tidak ada ruang lagi untuk menyimpan mayat, kami meletakkan mereka di atas satu sama lain,” katanya.

Namun dokumentari itu, yang dibuat oleh pengarah Syria, Firas Fayyad, ada saat-saat gembira, seperti satu sambutan harijadi yang diubahsuai, apabila sarung tangan pembedahan ditiup untuk menjadi belon.

Kakitangan perubatan menjadi “satu keluarga besar, kami cuba mencari saat-saat gembira ... supaya kami dapat rasa seperti manusia semula”, katanya.

Namun selain kekejaman harian, Dr Ballour terpaksa mengalami seksisme dalam persekitaran yang masih sangat konservatif.

“Pada permulaan, saya mendengar mereka menyebut benda seperti (sebagai seorang wanita) saya tidak dapat melakukannya. Selain semua tekanan dalam pekerjaan, saya terpaksa membuktikan bahawa kaum wanita berupaya” untuk menguruskan sebuah hospital, katanya. —  AFP

Advertisement