Anda di sini

Miliki motosikal curi, dua warga Indonesia dipenjara 

Advertisement
 

KUCHING: Dua sekawan yang berasal dari Indonesia dijatuhi hukuman penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana melakukan kesalahan memiliki motosikal curi.

Majistret Mohd Syukri Mokhtar menetapkan agar Rino Anggara, 28, dijatuhi hukuman penjara setahun manakala Rahul, 20, dipenjara enam bulan, selepas kedua-duanya mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibaca terhadap mereka. 

"Hukuman penjara dijalankan mulai hari ini dan kedua-dua tertuduh diarahkan untuk menjalani hukuman di Penjara Sri Aman," ujar Syukri semasa menjatuhkan hukum. 

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa memiliki sebuah motosikal curi milik Joshua Pos, 27 yang bernilai lebih kurang RM3,500 dan dilaporkan hilang pada 27 Januari lalu. 

Kesalahan itu didakwa dilakukan mereka di hadapan sebuah premis di Jalan Setia Raja pada 28 Januari lepas, jam 4 petang. 

Mereka masing-masing didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.


 

Advertisement