Anda di sini

Bapa didakwa rogol anak kandung

Advertisement
 

KUCHING: Seorang bapa berusia 43 tahun didakwa oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan merogol anak kandungnya yang berusia 13 tahun.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh selepas pertuduhan dibaca terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah.

Hal ini berikutan Hakim yang ditugaskan untuk mendengar kes ini, Hakim Jason Juga, sedang menjalankan tugas rasmi di tempat lain.

Justeru, Hakim Mohd Taufik Mohd @ Mohd Yusoff yang bertanggungjawab mendengar kes tersebut pada hari ini telah menetapkan Isnin hadapan, 10 Februari sebagai tarikh sebutan semula kes.

Dalam pada itu, tertuduh ditahan reman di penjara buat sementara waktu dan tidak dibenarkan ikat jamin memandangkan dia dan mangsa tinggal di rumah yang sama. 

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol mangsa antara 1 hingga 30 Jun tahun lalu, semasa berada di rumah mereka di Batu Kawa.

Dia didakwa oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurfadzlin Mahmad Zulhasnan di bawah Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang daripada lapan tahun dan tidak melebihi 30 tahun dan disebat dengan tidak kurang daripada 10 sebatan.

Tertuduh tidak diwakili peguam.
 

  • oleh
  • Advertisement