Anda di sini

Sebelum berangkat meninggalkan Tanjung Pandan

Advertisement
 

“CUKUP dengan Rp200,000 , makan durian sepuasnya”. Begitulah antara tajuk berita di muka depan suratkhabar Pos Belitung pada 5 Disember 2019.   

“Luar biase, ini legit dan manis. Mau makan durian, datang ke Belitung,” kata Bupati Belitung, H Sahani Saleh sambil memperlihatkan durian ketika berkunjung di Tanjung Bunga, Kecamatan Sijuk, kira-kira 30 minit perjalanan dari Tanjung Pandan.

 Jamuan tengahari yang dihoskan Disbudpar Propinsi di Restoran Pondok Kelapa.
MENYELERAKAN: Jamuan tengahari yang dihoskan Disbudpar Propinsi di Restoran Pondok Kelapa.

Sebelum check out dari Hotel Havana Mutiara, No 23, Jalan Depati Endek, saya sempat menatap akhbar pagi itu. Tajuk berita utama suratkhabar terkenal di Belitung pada hari itu adalah berita mengenai seribu siswa Belitung, dari tingkat sekolah dasar atau sekolah rendah hingga di peringkat universiti  diberikan biasiswa.

Ada juga foto artis Maudy Koesnaedi, yang terkenal kerana berlakon  dalam filem si Doel The Movie, khabarnya sempat menangis kerana mendapat nilai 8 sewaktu belajar di peringkat sekolah menengah. Selalu mendapat markah yang baik di sekolahnya.

Penerbangan ke Jakarta dijadualkan jam 10.30 pagi dan dijangka tiba kira-kira jam 11.30 pagi Bandara Soekarno Hatta. Itulah sebabnya kami bergerak lebih awal ke  Bandara H.A.S. Hanandjoeddin. Cuaca agak baik pada pagi itu meskipun  hujan turun dengan lebat pada sebelah malamnya sehingga memaksa kami pulang awal selepas program silaturrahim penulis Sabah-Belitung di warung Kupi Janggut. Sebaik acara selesai, kami meninggalkan Bang Diran dan rakan-rakan penulis yang lain  dan terpaksa menaiki bas sambil dipayungi untuk mengelak basah kuyup.

 Salah satu tugu yang dilewati dalam perjalanan di Tanjung Panda.
YANG DILEWATI: Salah satu tugu yang dilewati dalam perjalanan di Tanjung Panda.

Kembara Sastera Ikatan Penulis Sabah (IPS) ke Belitung pada 3-5 Disember itu, boleh dikatakan berjaya mencapai matlamatnya. Banyak pengalaman yang diperolehi di Bumi Laskar Pelangi itu. Sebaik mendarat di Tanjung Pandan, kami terus melawat Danau Kaolin, bekas lombong yang airnya membiru, dan khabarnya cincin-cincin meteor yang terkenal  itu diperolehi di sana.

Dengan dipandu oleh Pak Mawel, kami kemudian ke Rumah Adat Belitung untuk melihat khazanah budaya dan adat Melayu di sana. Di sana kami bertemu Pak Ismail Mihad, Setiausaha LAM, Pak Akhmad Hamzah dan Muhamad Arief Akbar. Kemudian kami dibawa ke Pondok Kelapa untuk jamuan makan tengahari yang dihoskan oleh Dinas Budaya dan Pariwisata Propinsi Bangka Belitung diwakili Pak Haryadi, yang sudi memberikan jamuan makan.

Kemudian dari sana, kami ke Desa Wisata Aik Rusa’ Berehun di Desa Terong, untuk melihat bagaimana masyarakat desa mengubah desa mereka menjadi salah satu destinasi wisata yang perlu dikunjungi.

Selepas beramah mesra dengan tokoh masyarakat dan tokoh budaya , Pak Akil Bujang dan Pak Sahid juga kepala desa Pak Suhaimi, kami meneruskan perjalanan ke Tanjung Kelayang, melihat pantai indah nan menawan sebelum ke Tanjung Tinggi, tempat yang tak kalah menariknya dan pernah menjadi lokasi penggambaran filem Laskar Pelangi.

 Salah sebuah masjid  di Tanjung Pandan.
MASJID: Salah sebuah masjid di Tanjung Pandan.

Pada malamnya, rombongan 20 orang penulis Sabah termasuk dari Semenanjung Malaysia dan WP Labuan dijamu makan malam oleh Bupati Belitung H Sahani Saleh yang lebih dikenali sebagai Pak Sanem. Majlis itu sesungguhnya tetap tersemat dalam ingatan kami, apatahlagi kerana jasa dan budibaik pak Sanem dan  stafnya yang menyediakan pengangkutan,dan membantu menyediakan penginapan untuk rombongan kami. Budi baik beliau akan tetap dikenang sepanjang hayat. Kehadiran Pak Junaidi, kepala Dinas Pendidikan Belitung ke majlis itu sangat kami hargai. Mungkin ada baiknya juga dicatat beberapa penulis anggota rombongan Kembara IPS yang diketuai Abd Naddin Haji Shaiddin, Awang Abdul Muizz Awang Marusin, Norawi Haji Kata, Jaliha Jaman, Ramli Jusoh, Sahar Misron, Gabriel Kimjuan, Tawil Baddu, Abdul Rahman Haji Halib, Dzulkarnain HM, Aminah Baudi, Samsiah Taib, Fauziyah Nurdin,Jaiton Baudi, Adijah Haji Jamli, Mardhiyyah Norawi , Dr Datu Masjidin Datu Moksan,Noorsitah Abrian, Jaafar Kadim, Husein Mohamad, ahli fotografi yang banyak merakamkan foto menarik dan wakil Sosial Budaya KJRI Kota Kinabalu, Pak Imanuddin Siregar.

 Bergambar di bawah pohon rimbun di SD Muhammadiyah.
DI BAWAH POHON RIMBUN: Bergambar di bawah pohon rimbun di SD Muhammadiyah.

Hari kedua di Belitung iaitu 4 Disember, kami berkunjung ke replika SD Muhammadiyah yang menjadi tempat 10 anak belitung bersekolah dan menginspirasi, , Andrea Hirata untuk menulisnya dalam novel, dan diterjemahkan kepada lebih 26 bahasa di dunia. Kisah anak-anak Belitung itu kemudian diangkat ke filem dan diarahkan Riri Riza, dan  menarik kedatangan lebih ramai pelancong ke sana.

Dari SD Muhammadiyah, kami berkunjung ke Museum Kata Andrea Hirata dan amat bertuah kerana dapat beramah mesra dengan Ibu Muslimah Hafsari yang menjadi tokoh penting dalam novel Laskar Pelangi. Sempat mendengar kisah pengalamannya menjadi guru kisah 10 Anak Laskar Pelangi dan kegelisahannya melihat anak-anak generasi kini yang mulai luntur moralnya kerana dikepung oleh teknologi.

 Gambar di atas sebuah anjungan berbentuk kapal di sebuah restoran.
GEMBIRA: Gambar di atas sebuah anjungan berbentuk kapal di sebuah restoran.

Selepas makan tengahari di sebuah restoran yang terkenal, kami kemudian ke kedai cenderamata untuk mencari ole ole untuk dibawa pulang. Belitung terkenal dengan pelbagai barangan makanan dan sebagainya. Banyak sekali tetapi kerana ada yang merasa belum membeli untuk bagasi, sebahagiannya terpaksa memendam rasa kerana khuatir dicaj oleh syarikat penerbangan.

Pada sebelah malamnya, kami ke Warkop Janggut, bertemu bang Diran, pemilik wang, Bang Fithrorozi,Iqbal ketua Dewan Kesenian Belitung, Pak Yudhie Guszara,Wahyu Kurniawan, wartawan juga pencinta sejarah, pak Agus Pahlevi Sahabat IPS yang banyak membantu memudahkan program kami dan ramai lagi rakan yang hadir pada malam itu.

 Bergambar di pelantar di sebuah restoran di Belitung.
DI PELANTAR: Bergambar di pelantar di sebuah restoran di Belitung.

Kami dihentikan hujan. Lebat sekali dan meskipun semangat berpuisi tidak luntur sama sekali namun kami terpaksa pulang ke hotel kerana keesokannya harus berangkat meninggalkan kenangan yang manis sepanjang berada di Belitung.

Untuk terakhir kalinya kami melewati beberapa tempat menarik di sekitar Kota Tanjung Pandan, sebelum bas meluncur ke Lapangan Terbang Hanandjoeddin menunggu pesawat JT 121 Lion Air yang membawa kami menyeberangi laut ke Jakarta.

Advertisement