Anda di sini

Rosmah hadir hari pertama perbicaraan kes rasuah

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Isteri bekas Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor tiba di Kompleks Mahkamah di sini pagi ini untuk menghadiri prosiding perbicaraan tiga kes rasuah berkaitan projek tenaga solar yang dihadapinya. 

Beliau yang memakai baju kurung dan berselendang warna hijau tiba di mahkamah pada 9.53 pagi dengan menaiki kereta Proton Perdana berwarna hitam dan ditemani beberapa pembantu dan juga peguamnya.

Rosmah yang dimasukkan ke sebuah hospital swasta Isnin lepas untuk menerima rawatan dilihat memakai 'tag hospital' pada pergelangan tangan kanan serta keadaannya sedikit lemah. 

Hari pertama perbicaraan rasuah Rosmah yang ditunggu-tunggu dijadualkan bermula pada Isnin lepas bagaimanapun terpaksa ditangguhkan hari ini selepas beliau tidak dapat hadir kerana tidak sihat dan diberikan sijil cuti sakit sehingga 8 Februari.

Berdasarkan laporan perubatan daripada sebuah hospital swasta, yang dibacakan di dalam mahkamah, Rosmah mengalami sakit leher teruk yang berulang-ulang dengan radikulopati anggota atas kiri dan beliau juga mengadu pening ketika berbaring dalam posisi salah.

Rosmah, 69, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin, menerusi bekas pembantu Rosmah iaitu Datuk Rizal Mansor bagi projek membekalkan tenaga solar kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak. 

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di tiga tempat iaitu Lygon Cafe, Sunway Putra Mall di Jalan Putra; di kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan Seri Perdana Residence, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Mac dan 7 September 2018. - Bernama 

Advertisement