Anda di sini

Pusat R&R Kota Belud sedia Dewan Kebudayaan bantu promosi TMM2020

 Dr Salleh diapit tetamu kenamaan dalam majlis itu.
KENAMAAN: Dr Salleh diapit tetamu kenamaan dalam majlis itu.

JIKA anda dalam perjalanan dari Kota Kinabalu ke utara Sabah seperti Kudat, Sikuati, Matunggong, Kota Marudu, Tandek, Pitas atau sebaliknya dalam perjalanan dari utara ke ibu negeri, tempat paling ideal untuk berhenti rehat, minum, makan, solat dan sebagainya adalah di Pusat Rehat dan Rawat (R&R) Kota Belud yang terletak di Kampung Wakap, jalan Bypass Kota Belud.

Pusat R&R Kota Belud itu adalah satu-satunya pusat rehat dan rawat yang menyediakan pelbagai fasiliti termasuk jika anda merancang untuk mencari tempat penginapan untuk percutian di Kota Belud dan sekitarnya kerana terdapat sebanyak 20 bilik boleh disewa dengan kadar berpatutan.

Pengurus Pusat R&R Kota Belud Ammyliah Abdul Aziz berkata, pihaknya sentiasa berusaha untuk menambahkan pelbagai kemudahan untuk kepentingan pengguna khususnya masyarakat di daerah itu dan sekitarnya.

 Antara penari kesenian yang menjayakan majlis.
SEMARAKKAN SENI: Antara penari kesenian yang menjayakan majlis.

Bagi menjayakan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2020, Pusat R&R juga menyediakan kemudahan untuk mengadakan program-program kebudayaan, kesenian dan kemasyarakatan di Dewan Kebudayaan yang dirasmikan oleh Penasihat Yayasan Kemajuan Sosial Sabah Datuk Seri Panglima Dr Salleh Tun Said.

Dalam program yang diserikan dengan tarian etnik itu, kehadiran pemimpin-pemimpin tempatan amatlah dialu-alukan kerana selain menyerikan majlis, mereka juga boleh membantu mempromosi Kota Belud sebagai destinasi pelancongan yang memiliki pelbagai keistimewaan seperti sawah padi saujana mata memandang, keindahan pantai di waktu senja dan sungai jernih mengalir dari pergunungan, khazanah budaya Bajau, Iranun, Dusun selain memiliki pelbagai jenis makanan yang unik dan tersendiri.

 Penari mempersembahkan tarian yang melambangkan khazanah seni Sabah.
KESENIAN: Penari mempersembahkan tarian yang melambangkan khazanah seni Sabah.

“Sememangnya R&R Kota Belud ini sering menjadi lokasi yang kerap disinggahi orang ramai termasuk pelancong-pelancong untuk berehat dan makan minum sebelum meneruskan perjalanan masing-masing,” kata Salleh dalam ucapannya ketika merasmikan Dewan Kebudayaan itu.

“Dengan adanya Dewan Kebudayaan ini, diharapkan dapat memeriahkan lagi R&R ini dengan pelbagai aktiviti kebudayaan dan kemasyarakatan yang boleh mempromosi kebudayaan masyarakat Sabah,” katanya.

Turut hadir dalam  majlis itu ialah Ahli Lembaga Pengarah Pelancongan Sabah Haji Mustapha Haji Sakmud, Pengerusi YKSS Datuk Baharul Sawi, mantan Timbalan Speaker Negeri Sabah Datuk Dr Johnson Tee, Ketua Daerah Kota Belud Datu Asal Datu Haji Arifin, Datuk Hanjan Samit, Penolong Pegawai Daerah Kota Belud, Abdul Wahab Sidek, Timbalan Presiden USBO, Datuk Salsidu Haji Ibrahim, Presiden Persatuan Sama Sabah (PSS) Datuk Abdullah Sibil, mantan Pengarah Kastam Sabah Datuk Hamzah Sundang, Presiden Gabungan Persatuan Pelancongan Kota Belud Dr Budiman Abpa dan Datuk Haji Jemil Sidah.

Turut hadir ialah Yang Dipertua PAS Kota Belud Ustaz Haji Awang Laiman Haji Ekin, Ketua Bahagian PBS Usukan Mohd Lin Haji Harun dan Ketua Bahagian STAR Pintasan Dato Sri Raflin Haji Samat.

 Dr Salleh menandatangani plak perasmian sambil diperhatikan Ammyliah.
RASMI: Dr Salleh menandatangani plak perasmian sambil diperhatikan Ammyliah.

Pusat R&R Kota Belud yang dibuka sejak 2017 kini semakin popular dan tempat kesukaan ramai untuk sekadar singgah minum, makan dan berehat atau bersantai. Ia terletak di laluan utama yang menghubungkan ibu negeri dengan daerah-daerah di utara Sabah.

Sementara itu, Mustapha mengalu-alukan pembukaan dewan ini yang bakal menjadi antara destinasi pelancongan dalam dan luar negara  untuk menikmati keunikan kebudayaan pelbagai kaum di daerah Kota Belud.

Selain Dewan Kebudayaan, Pusat R&R Kota Belud juga menyediakan restoran, bilik mesyuarat, tandas awam, surau dan sebagainya dan pastinya akan memberi impak positif dari segi ekonomi terutamanya dari aspek pelancongan di negeri ini.

Advertisement