Anda di sini

Keputusan untuk menangguh atau meneruskan kes saman Petronas akan diketahui 11 Feb

Advertisement
JC Fong bersama Peguam Negeri Datuk Talat Mahmood Abdul Rashid selesai prosiding di kamar hakim.
Fong bersama Peguam Negeri Datuk Talat Mahmood Abdul Rashid selesai prosiding di kamar hakim.

KUCHING: Pesuruhjaya Kehakiman Christopher Chin hari ini menetapkan 11 Februari depan untuk memberikan keputusan sama ada kes saman sivil kerajaan Sarawak dan Pengawal Cukai Jualan Negeri (SST) terhadap Petroliam Nasional Berhad (Petronas) ditangguhkan atau diteruskan.

Penasihat Undang-Undang Sarawak yang mewakili Kerajaan Sarawak dan Pengawal SST, Dato Sri JC Fong berkata, sekiranya mahkamah membenarkan permohonan Petronas untuk menangguhkan prosiding, maka kes ini terpaksa didengar semula dari awal.

"Bagi pihak kami (defendan), mereka tidak mempunyai sebab untuk menangguhkan prosiding kes ini. Sebaliknya kes harus diteruskan untuk perbicaraan kerana ia melibatkan kepentingan awam dan tidak sepatutnya dihentikan separuh jalan," jelas beliau kepada pemberita di lobi Mahkamah Kuching, hari ini. 

Diminta mengulas sebab peguam Petronas Datuk Malik Imtiaz Sarwar meminta ditangguhkan, Fong enggan mengulas lanjut tetapi sekadar mengatakan 'atas sebab tertentu'.

Malik ketika ditemui juga enggan mengulas.

Permohonan penangguhan prosiding hari ini didengar di kamar hakim. 

Pada 20 Disember tahun lalu, Petronas memfailkan notis agar Chin berundur daripada mendengar kes tersebut berikutan beliau merupakan seorang hakim yang berada dalam tempoh percubaan dan belum disahkan atau ditauliahkan sebagai Hakim Mahkamah Tinggi.

Namun, Chin menolak permohonan pengunduran tersebut pada 23 Januari lalu. 

Seterusnya, Petronas memohon penangguhan prosiding sementara menunggu rayuan mengenai keputusan pengekalan Chin sebagai hakim dalam kes tersebut. 

  • oleh
  • Advertisement