Anda di sini

‘1917’ menang besar di BAFTA menjelang Anugerah Oscar

Advertisement
 Kelihatan (dari kiri) barisan produser Callum McDougall, Pippa Harris, pengarah Sam Mendes, penulis filem British Krysty Wilson-Cairns dan produser Jayne-Ann Tenggren bergambar dengan anugerah Filem British Terbaik untuk ‘1917’ di Anugerah BAFTA di London pada Ahad lepas.  — Gambar AFP
MENANG BESAR: Kelihatan (dari kiri) barisan produser Callum McDougall, Pippa Harris, pengarah Sam Mendes, penulis filem British Krysty Wilson-Cairns dan produser Jayne-Ann Tenggren bergambar dengan anugerah Filem British Terbaik untuk ‘1917’ di Anugerah BAFTA di London pada Ahad lepas. — Gambar AFP

KISAH Perang Dunia I yang epik berjudul ‘1917’ menang besar di Anugerah BAFTA pada Ahad lepas, apabila ia membawa pulang anugerah filem terbaik dan trofi pengarah terbaik untuk Sam Mendes, seterusnya meletakkannya di landasan yang berpotensi untuk memenangi anugerah Oscar pada hujung minggu ini.  

Filem itu, yang menceritakan tentang dua orang askar British yang menjalani misi berbahaya di bumi musuh, sudah memenangi anugerah Golden Globe bagi drama terbaik, dan mempunyai 10 pencalonan Anugerah Akademi termasuk filem terbaik.

Dipuji sebagai sebuah filem perintis, ia memenangi tujuh hadiah daripada sembilan pencalonannya di majlis anugerah filem utama di Britain, termasuk dalam sinematografi, rekaan penerbitan, bunyi dan kesan visual khas.

“Saya tersentuh hati untuk mendapat ini di bandar asal saya buat pertama kali,” kata Mendes, pemenang British pertama untuk anugerah pengarah terbaik BAFTA sejak Danny Boyle menang pada 2009 bagi filem ‘Slumdog Millionaire’.

“Terima kasih kepada semua orang yang telah menonton filem ini di pawagam,” katanya pada majlis gilang-gemilang itu di Royal Albert Hall, London.

KEKECEWAAN

Di majlis Anugerah BAFTA pada tahun ini, lima buah filem yang sama mengisi pencalonan bagi filem terbaik dan pengarah terbaik.

Menyertai ‘1917’ dan Mendes adalah ‘Joker’ (Todd Phillips); filem aksi komedi dari Korea Selatan ‘Parasite’ (Bong Joon-ho); ‘The Irishman’ (Martin Scorsese), dan ‘Once Upon a Time in Hollywood’ arahan Quentin Tarantino.

Malam itu khususnya ternyata anti-klimaks bagi dua filem terakhir: drama komedi arahan Tarantino memenangi hanya satu anugerah sahaja – Brad Pitt, bagi pelakon pembantu terbaik – manakala filem jenayah arahan Scorsese pulang dengan tangan kosong.

Tetapi malam itu mungkin sama mengecewakan bagi filem hit ‘Joker’, yang mendahului dengan 11 pencalonan tetapi pada akhirnya memenangi tiga hadiah sahaja, termasuk Joaquin Phoenix untuk pelakon terbaik.

Dia menewaskan pelakon ‘heavyweight’ Hollywood, Leonardo DiCaprio (‘Once Upon a Time in Hollywood’) selain Adam Driver (‘Marriage Story’), Taron Egerton (‘Rocketman’) dan Jonathan Pryce (‘The Two Popes’).

‘SANGAT MENGINSAFKAN’

Renee Zellweger menerima anugerah aktres terbaik bagi lakonannya dalam filem mengenai jelajah kebangkitan Judy Garland pada akhir hayatnya dalam ‘Judy’, yang menandakan kebangkitan yang mengejutkan bagi kariernya sendiri yang berbagai-bagai.

 Pengarah Korea Selatan Bong Joon-ho bergambar dengan Anugerah Filem Bukan Dalam Bahasa Inggeris Terbaik untuk  ‘Parasite’ di Anugerah BAFTA yang diadakan di Royal Albert Hall, London pada Ahad lepas. — Gambar AFP
DIIKTIRAF: Pengarah Korea Selatan Bong Joon-ho bergambar dengan Anugerah Filem Bukan Dalam Bahasa Inggeris Terbaik untuk ‘Parasite’ di Anugerah BAFTA yang diadakan di Royal Albert Hall, London pada Ahad lepas. — Gambar AFP

Dia mengatasi saingan sengit daripada barisan aktres yang berbakat iaitu Jessie Buckley (‘Wild Rose’), Scarlett Johansson (‘Marriage Story’), Saoirse Ronan (‘Little Women’) dan Charlize Theron (‘Bombshell’).

“Ini sangat menginsafkan,” katanya kepada hadirin ‘diraja’ Hollywood.

“Cik Garland, bandar London, yang anda selama ini begitu sayangi, masih menyayangi anda. Ini adalah untuk anda.”

Sementara itu Laura Dern memenangi anugerah aktres pembantu terbaik untuk filem perceraian yang sedih terbitan Netflix ‘Marriage Story’.

Dia menewaskan pelakon bersamanya dalam filem itu iaitu Scarlett Johansson, bagi peranannya dalam ‘Jojo Rabbit’, selain Florence Pugh (‘Little Women’) dan Margot Robbie yang dicalonkan sebanyak dua kali (‘Bombshell’ dan ‘Once Upon a Time in Hollywood’).

KRITIKAN KEPELBAGAIAN

British Academy of Film and Television Arts, pada anugerah filem tahunannya yang ke-73, sering dilihat sebagai petunjuk bagi hala tuju anugerah Oscar di Los Angeles yang akan diadakan pada 9 Februari ini.

Anugerah BAFTA pada tahun ini telah menghadapi kritikan kerana kurang kepelbagaian etnik di kalangan calon-calon kategori pelakon, kesemua 18 calon berkulit putih.

Phoenix mengecam “rasisme sistematik” dan “penindasan” di dalam industri perfileman dalam ucapan penerimaannya.

“Saya rasa kita menyampaikan mesej yang sangat jelas kepada orang berkulit gelap bahawa anda tidak diterima di sini,” tambahnya.

Akademi British itu berkata ia akan menyemak semula sistem undiannya sebelum majlis anugerah pada tahun depan.

Pemenang dan calon dalam kebanyakan kategori diundi oleh 6,500 orang ahli, yang merupakan profesional industri dan kreatif dari seluruh dunia.

KENNEDY, SERKIS DIHORMATI

Majlis dihoskan oleh pengacara rancangan perbincangan TV Graham Norton, dan Putera William dan isterinya Kate menambah sedikit glamor diraja pada tahun baginda yang ke-10 sebagai presiden BAFTA.

Putera itu menyampaikan ‘Academy Fellowship’, anugerah tertingginya, kepada penerbit Amerika Kathleen Kennedy, ketua Lucasfilm dan orang utama di sebalik beberapa buah filem paling laris dalam sejarah.

Ia termasuk sekuel Star Wars, ‘Jurassic Park’, ‘E. T. the Extra-Terrestrial’ dan trilogi ‘Back to the Future’.

Sementara itu, pelakon British Andy Serkis menerima Anugerah Sumbangan kepada Dunia Perfileman British kerana lakonan ‘motion-capture’ yang merintis jalan bagi watak-watak janaan komputer.

Watak-watak pelakon berusia 55 tahun itu termasuk Gollum dalam trilogi ‘The Lord of the Rings’, Caesar dalam filem yang dibikin semula ‘Planet of the Apes’, gorila tajuk filem dalam ‘King Kong’ dan Pemimpin Agung Snoke dalam dua filem sekuel ‘Star Wars’. — AFP

Advertisement