Anda di sini

Basil sah lepaskan jawatan Pengurus Piala Belia 2020

Advertisement
BASIL
BASIL

MIRI: Ahli perniagaan, Basil Thomas mengesahkan telah melepaskan jawatan pengurus Sarawak United FC bagi Piala Belia 2020 selepas dilanda kontroversi gagal mendapat tajaan ekoran kos pengurusan yang tinggi.

Basil ketika dihubungi Utusan Borneo memberitahu beliau telah menghantar surat untuk mengosongkan kerusi itu kepada Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS).

"Saya telah mengambil keputusan untuk berundur sejak beberapa hari lalu atas beberapa faktor termasuk tidak mampu menampung kos pengurusan yang tinggi," katanya.

Menurut Basil, agak sukar baginya menyediakan peruntukan besar bagi mengurus pasukan tanpa suntikan dana dari pihak berkaitan.

"Tiada jalan lain kecuali mengundurkan diri kerana kos pengurusan bukan sedikit, mencecah jutaan ringgit yang membabitkan pembayaran gaji jurulatih, elaun pemain dan perbelanjaan lain," jelasnya.

Basil dalam kenyataannya sebelum ini memberitahu sejumlah RM1.6 juta diperlukan untuk menguruskan perbelanjaan pasukan Sarawak United FC.

Bagaimanapun tambahnya, peruntukan sebesar itu memerlukan sokongan kewangan yang kuat dari kerajaan negeri serta tajaan pihak lain.

"Bagaimanapun saya berterima kasih dengan FAS yang memberi ruang dan kepercayaan kepada saya menjadi pengurus walaupun untuk seketika," ujarnya.

Pengunduran Basil itu heboh diperkatakan dalam kem latihan skuad Piala Belia 2020 sebelum ini, namun spekulasi itu tidak menjejaskan persiapan pemain.

Pihak pengurusan Piala Belia 2020 difahamkan akan mengadakan satu mesyuarat bagi mencari calon yang sesuai mengisi kekosongan itu.

Ketika ini, Timbalan Pengurus Pasukan, Arbi Lai dipertanggungjawabkan mengurus pasukan menjelang pertemuan pertama menentang Negeri Sembilan, 23 Februari ini di Stadium Miri.

  • oleh
  • Advertisement