Anda di sini

Chong seru peralihan kepada perniagaan atas talian

Advertisement
 Chong (enam kiri), Rostam (empat kanan), Stanley (tiga kiri) dan tetamu jemputan dalam upacara Yee Sang.
YEE SANG: Chong (enam kiri), Rostam (empat kanan), Stanley (tiga kiri) dan tetamu jemputan dalam upacara Yee Sang.

SIBU: Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Chong Chieng Jen menyeru rakyat Sarawak supaya beralih kepada perniagaan atas talian yang semakin banyak digunakan masa kini.

Menurutnya, perniagaan atas talian kini diguna di seluruh dunia dan berkembang pesat berbanding perniagaan cara tradisional di pasar raya atau mana-mana pusat beli-belah.

“Pada zaman revolusi industri ini, kita harus mengubah suai modal perniagaan dan minda kita mengikut perubahan yang baharu pada zaman ini.

“Sebab itu kita perlu beralih daripada bentuk perniagaan tradisional kepada e-dagang yang kini menunjukkan pertumbuhan sehingga 10 peratus,” ujarnya.

Chong berkata demikian ketika merasmikan Majlis Ramah Mesra Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Bersama Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Kepenggunaan sempena sambutan Tahun Baharu Cina di sebuah hotel di sini semalam.

Dalam ucapannya, Ahli Parlimen Stampin itu berkata pelbagai pencapaian telah dicapai di bawah kepimpinan Pakatan Harapan (PH) dalam mentadbir kerajaan di negara ini.

“Sepanjang tempoh 18 bulan mentadbir negara ini, kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah Antarabangsa menunjukkan peningkatan iaitu dari tangga ke-61 kepada ke-51 daripada lebih 180 negara.

“Ini adalah perkembangan positif kerajaan di bawah pimpinan PH dan membuktikan kerajaan PH sebuah kerajaan yang telus dan serius dalam memerangi rasuah di negara ini,” jelasnya.

Chong turut menegaskan negara sedang menuju landasan yang tepat walaupun banyak keluhan dan rintihan.

Menyentuh mengenai majlis itu, Chong gembira kerana majlis berkenaan mendapat sambutan daripada pelbagai kaum dan agama di negari ini.

Katanya, adalah menjadi satu keistimewaan masyarakat majmuk bersama-sama meraikan perayaan Tahun Baharu Cina, Hari Raya Aidilfitri, Hari Krismas dan Gawai Dayak.

“Ini satu keistimewaan negara kita yang menunjukkan satu semangat perpaduan yang mesra. Kita harus bangga dengan pencapaian kita dan memupuk semangat harmoni antara kaum dengan mengekalkan keistimewaan ini,” ujarnya.

Hadir sama ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Kepenggunaan dan Pengurusan) KPDNHEP Datuk Rostam Affendi Datuk Salleh dan Pengarah KPDNHEP Negeri Sarawak Datuk Stanley Tan, Ahli Parlimen Sibu Oscar Ling, Ahli Parlimen Lanang Alice Lau, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan David Wong, ADUN Bukit Assek Irene Chang, Temenggung Datuk Vincent Lau Lee Ming dan Temenggung Stanley Geramong.

Majlis sambutan turut dimeriahkan dengan persembahan nyanyian dan tarian kanak-kanak Methodist Chidren Home, persembahan sape, orkestra tradisional Cina dan nyanyian koir.

  • oleh
  • Advertisement