Anda di sini

Helikopter terhempas di Marudi, juruterbang dan penumpang selamat

Advertisement
 

MIRI: Sebuah helikopter milik Sabah Air Aviation Sdn Bhd dilaporkan terhempas di daerah Marudi dekat sini petang pada Sabtu.

Difahamkan, helikopter dengan nombor pendaftaran 9M-AZK semasa kejadian membawa lima individu terdiri daripada dua juruterbang dan tiga pegawai Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM). 

Pesawat dikatakan berlepas dari Marudi ke Base Camp JUPEM kira-kira jam 4.04 petang. 

Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang (AFRS) dimaklumkan mengenai helikopter terbabit terhempas oleh pegawai JUPEM kira-kira jam 6.07 petang. 

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Zon 6 Miri Penguasa Kanan Bomba I Law Poh Kiong ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian terbabit. 

Bagaimanapun beliau belum menerima maklumat lebih lanjut mengenai kejadian terbabit daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM). 

"Kedua-dua juruterbang dalam keadaan selamat, maklumat terkini semua mangsa telah dibawa keluar ke Marudi menggunakan jalan darat oleh JUPEM," katanya. 

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak Datuk Amar Douglas Unggah Embas ketika dihubungi sekitar jam 10 malam memberitahu beliau telah dimaklumkan mengenai kejadian itu namun belum menerima sebarang maklumat rasmi daripada pihak berkuasa terlibat. 

  • oleh
  • Advertisement