Anda di sini

Sarawak beli kit ujian darah pantas, percepat keputusan Koronavirus Wuhan - Uggah

Advertisement
Uggah menjawab pertanyaan pemberita pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat JBPN Sarawak di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini. Turut kelihatan Jaul (kanan). - Gambar oleh Muhammad Rais Sanusi
Uggah menjawab pertanyaan pemberita pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat JBPN Sarawak di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini. Turut kelihatan Jaul (kanan).

KUCHING: Sarawak membeli peralatan kit ujian darah pantas dalam usaha mempercepatkan pengesahan keputusan kes disyaki Koronavirus Wuhan di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, dengan mempunyai peralatan berkenaan Sarawak dapat melakukan saringan awal ujian darah sendiri kepada pesakit yang disyaki dijangkiti virus berkenaan tanpa perlu menghantar sampel darah ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMIR), Kuala Lumpur.

"Sebelum ini semua sampel darah pesakit yang disyaki perlu dihantar ke IMR di Kuala Lumpur dan ia mengambil masa 36 jam hingga 48 jam untuk mendapatkan keputusan.

"Namun jika kita ada kit ini, maka sampel darah akan dapat diketahui dengan lebih cepat, mungkin dalam tempoh hanya 12 jam," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.

Menurut beliau yang juga pengerusi JPBN Sarawak, kit berkenaan dijangka tiba ke negeri ini dalam masa seminggu atau dua minggu.

Jelasnya sejurus sahaja sampai, kit berkenaan akan digunakan serta-merta khasnya dalam kes melibatkan ujian darah berkaitan kes disyaki Koronavirus Wuhan.

Selain daripada membeli peralatan terbabit, kerajaan negeri juga telah memutuskan membeli dua lagi kamera pengimbas haba bagi mengesan suhu badan penumpang untuk diletakkan di dua lapangan terbang iaitu di Sibu dan Bintulu, kata Uggah.

Katanya sehingga kini Sarawak mempunyai dua pengimbas haba iaitu masing-masing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dan Miri.

"Dua mesin pengimbas haba baharu ini akan ditempatkan di lapangan terbang Sibu dan Bintulu dan dengan itu, ia menjadikan semua lapangan terbang di Sarawak mempunyai peralatan ini.

"Sebaik sahaja kedua-dua pengimbas haba sampai, kita akan letakkan serta-merta di kedua-dua lapangan iaitu Sibu dan Bintulu," katanya.

Uggah turut memberitahu, selain keputusan membeli peralatan berkenaan Sarawak juga akan menyediakan Borang Pengisytiharan Kesihatan untuk Kemasukan ke Sarawak sebagai langkah berjaga-jaga dalam menangani koronavirus.

Menurut beliau, borang pengisytiharan kesihatan berkenaan akan diagihkan kepada syarikat penerbangan dan boleh diperolehi di pesawat.

"Dengan demikian semua penumpang yang datang ke Sarawak menerusi semua pintu masuk akan mengisi borang dan diberikan kepada Jabatan Imigresen yang ditempatkan di pintu masuk," katanya sambil memberitahu selain itu pegawai kesihatan juga turut ditempatkan di semua pintu masuk.

Sementara itu Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datu Ik Pahon Joyik ketika dihubungi berkata, sebuah kit ujian darah berkenaan dianggarkan berharga RM10,000.

Tambahnya, sebuah kit berkenaan mampu membuat ujian ke atas 96 sampel darah.

Manakala katanya lagi, bagi sebuah pengimbas haba, ia dianggarkan menelan kos RM120,000 setiap satu.

Hadir sama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato Sri Dr Sim Kui Hian; Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato Sri Fatimah Abdullah; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Jaul Samion; Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Dev Kumar dan Pengarah Imigresen Sarawak, Datuk Ken Leben.

  • oleh
  • Advertisement