Anda di sini

Koronavirus Wuhan: Dua kes disyaki di Sarawak masih tunggu keputusan

Advertisement
Uggah (dua kanan) bersama Dr Sim (tiga kanan), Fatimah (empat kanan) serta yang lain semasa sidang media selepas mesyuarat di sini, hari ini.
Uggah (dua kanan) bersama Dr Sim (tiga kanan), Fatimah (empat kanan) serta yang lain semasa sidang media selepas mesyuarat di sini, hari ini.

KUCHING: Dua lagi kes disyaki Koronavirus Wuhan dicatatkan di Sarawak setakat ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang mendedahkan perkara itu berkata dua kes berkenaan masing-masing di Kuching dan Miri.

Menurut beliau Sarawak sehingga kini mencatatkan lapan kes disyaki Koronavirus Wuhan namun enam daripadanya negatif termasuk kes di Bintulu.

"Daripada lapan kes berkenaan lima kes di Kuching sementara Sibu, Bintulu dan Miri masing-masing satu kes. Di Kuching daripada lima kes empat adalah negatif sementara satu lagi kes masih menunggu keputusan ujian darah.

"Manakala kes di Sibu dan Bintulu masing-masing juga negatif sementara kes di Miri masih menunggu keputusan," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.

Uggah yang juga pengerusi JPBN Sarawak berkata daripada lapan kes berkenaan empat melibatkan warga tempatan iaitu tiga di Kuching dan seorang di Miri.

Manakala katanya tiga lagi kes iaitu masing-masing di Kuching, Bintulu dan Sibu melibatkan warganegara China dan satu melibatkan warganegara Thailand (Kuching).

Kesemua kes disyaki berkenaan melibatkan mereka berusia lingkungan 20 hingga 50 tahun, katanya.

"Kesemua ujian darah lapan kes disyaki ini telah dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) di Kuala Lumpur.

"Pada kebiasannya ia mengambil masa 36 jam hingga 48 jam untuk keputusan diketahui," tegasnya.

Beliau berkata sebagai contoh bagi kes di Bintulu yang melibatkan wanita China itu, ia mengambil masa 48 jam keputusan diketahui.

Hadir sama Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dato Sri Dr Sim Kui Hian; Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah serta yang lain.

  • oleh
  • Advertisement