Anda di sini

Koronavirus: MOA arah periksa produk makanan dari China

Advertisement
 Program Memperkasakan B40 di Kuala Lumpur semalam. — Gambar Bernama
JAWAB: Salahuddin menjawab pertanyaan media selepas menyaksikan pertukaran dokumen Kerjasama Strategik antara Petronas dan Agrobank: Program Memperkasakan B40 di Kuala Lumpur semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mengarahkan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan (MAQIS) menjalankan pemeriksaan ketat di semua pintu masuk negara ketika ini bagi memeriksa produk makanan import dari China.

Menterinya Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata walaupun Malaysia tidak mengimport sebarang produk makanan dari Wuhan, China, yang dikaitkan dengan penularan wabak 2019 novel koronavirus di negara itu, dan tidak ada fakta menunjukkan berlakunya penularan wabak melalui makanan, namun kawalan keselamatan dan pemeriksaan perlu dilakukan sebagai langkah berjaga-jaga.

“Saya dimaklumkan bahawa virus ini merupakan ‘human transmission’ tidak melibatkan bahan makanan tetapi saya telah arahkan MAQIS buat pemeriksaan di semua pintu masuk. Paling tidak bermula hari ini mereka boleh buat pemeriksaan secara rambang dahulu dengan memilih produk tertentu seperti daging atau buah-buahan,” katanya selepas hadir majlis Kerjasama Strategik Petronas dan Agrobank: Program Memperkasakan B40 di sini semalam.

Kerjasama itu melibatkan pelaburan pembiayaan RM100 juta yang diperuntukkan oleh syarikat minyak dan gas berkenaan, yang akan disalurkan dalam tempoh lima tahun dan diuruskan oleh program kemudahan pembiayaan mikro B40 Agrobank.  

Turut hadir Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Petronas Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin serta Presiden dan CEO Agrobank Khadijah Iskandar.

Salahuddin berkata pihaknya akan sentiasa memantau perkembangan jangkitan koronavirus dan peka dengan situasi semasa.

Setakat ini, empat kes disahkan koronavirus yang dikesan di negara ini.

Mengenai kerjasama antara Agrobank dan Petronas itu, Salahuddin menyifatkan langkah berkenaan sebagai kerjasama strategik yang membanggakan dengan menjangkakan impak besar terhadap perkembangan pertanian negara.

Katanya dalam tempoh lima tahun, Petronas akan melabur RM100 juta melalui kerjasama dengan Agrobank bagi membantu kira-kira 3,000 usahawan tani daripada golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40).

“Saya akan pastikan dalam mesyuarat pascakabinet, mungkin Agrobank kena lapor terus kepada saya supaya setiap pergerakan dapat kita pantau. Saya janji amanah ini akan dijaga sebaik mungkin.

“Ini akan mempercepatkan usaha kita untuk mencapai objektif asal iaitu membantu B40 dalam masa lima tahun dengan pembiayaan mikro kredit daripada RM10,000 minimum sehingga RM300,000 maksimum,” katanya.

Mengenai perancangan memperkasakan B40, Salahuddin berkata beliau berharap Petronas turut menjalin kerjasama seumpama itu dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Menurutnya kerjasama antara dua organinasi itu bertujuan membuka ruang dan peluang kepada golongan B40 khususnya golongan terpinggir di negara ini agar taraf hidup golongan itu menjadi lebih baik.

Terdahulu ketika ucapan aluan, Khadijah menyifatkan kerjasama itu sebagai permulaan 2020 dengan suatu hasrat iaitu memperkasakan golongan B40.

“Ketika ini Agrobank mempunyai lebih 11 program pembiayaan mikro di seluruh negara meliputi aktiviti pembenihan jelapang padi, tanaman cili fertigasi, kelapa sawit, lembu tenusu, nanas, burung walit dan sebagainya. Melalui kolaborasi ini, pembiayaan boleh diberikan sehingga 100 peratus daripada keseluruhan kos operasi dengan kasar keuntungan bank terendah iaitu hanya dua peratus setahun,” katanya. — Bernama

Advertisement