Anda di sini

Kerajaan serius pacu ekonomi digital

Advertisement

PUTRAJAYA: Kerajaan serius memacu ekonomi digital bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi negara tahun ini, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Selain itu, beliau berkata ekonomi digital berupaya berperanan sebagai faktor penarik kepada pelabur, pembinaan modal insan dan penyelidikan.

“Transformasi Malaysia kepada Ekonomi Digital hanya boleh direalisasikan sekiranya rakyat mengamalkan budaya digital dan mengambil bahagian dalam urus niaga digital yang menjurus ke arah masyarakat tanpa tunai,” katanya.

Beliau berkata antara langkah yang diambil bagi memacu ekonomi digital ialah pengenalan inisiatif e-Tunai Rakyat, dengan sejumlah RM450 juta disalurkan melalui pengendali e-dompet terpilih bagi menggalakkan penggunaan bayaran tanpa tunai dalam kalangan rakyat.

“Sistem bayaran tanpa tunai ini bukan sahaja lebih efisien, bahkan dapat membantu mengurangkan kejadian pengelakan cukai,” katanya dalam amanat tahun baharunya kepada warga Kementerian Kewangan baru-baru ini.

Lim berkata kerajaan akan turut membangunkan infrastruktur yang diperlukan untuk membentuk Malaysia Digital menerusi kerjasama awam swasta, melibatkan pelaburan sebanyak RM21.6 bilion, dengan kerajaan akan membiayai sekurang-kurangnya separuh daripada kos keseluruhan.

Beliau berkata kerajaan juga akan memperkenal Geran Pembangunan Ekosistem 5G berjumlah RM50 juta dalam usaha menggalakkan pembangunan teknologi oleh syarikat bagi menghadapi gelombang perubahan 5G di seluruh dunia.

Bagi merancakkan pertumbuhan e-dagang, katanya kerajaan memperuntuk RM20 juta kepada Perbadanan Ekononi Digital Malaysia (MDEC) bagi mengembangkan jaguh tempatan dalam membangunkan kandungan digital seperti e-Permainan, animasi dan seni digital.

Kerajaan juga bercadang menubuhkan 14 Pusat Peningkatan Digital Sehenti di semua negeri bagi memudahkan akses kepada pembiayaan dan pembangunan kapasiti perniagaan, terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menerusi peruntukkan sebanyak RM70 juta, katanya.

Lim berkata konsep Tanggungjawab Sosial Digital (DSR) yang diperkenal oleh kerajaan adalah usaha untuk menggalakkan kerjasama antara pihak kerajaan dan swasta.

“DSR adalah komitmen oleh sektor perniagaan untuk meningkatkan keupayaan tenaga kerja masa depan dengan kemahiran digital untuk masyarakat yang memerlukan,” katanya.

Lim berkata sumbangan sektor swasta dalam aktiviti DSR akan diberi potongan cukai. — Bernama

Advertisement