Anda di sini

The Red Devils ‘memalukan’, Solskjaer terus tertekan

Advertisement
 Reaksi Solskjaer (tiga kiri) ketika ketika meninggalkan padang selepas tamat perlawanan di Old Trafford, Manchester kelmarin. — Gambar AFP
HAMPA: Reaksi Solskjaer (tiga kiri) ketika ketika meninggalkan padang selepas tamat perlawanan di Old Trafford, Manchester kelmarin. — Gambar AFP

LONDON, England: Manchester United dilabelkan ‘memalukan’ ketika tekanan terus memuncak ke atas Ole Gunnar Solskjaer ekoran kekalahan mengejut pasukannya kepada Burnley sementara Tottenham Hotspur mengembalikan harapan memburu empat tangga teratas liga apabila menewaskan Norwich 2-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris Rabu lepas.

United mengalami kekalahan ketiga dari empat perlawanan liga terakhir, sekali gus mengalihkan semula perhatian kepada kedudukan Solskjaer sebagai pengurus.

Kemenangan pertama Burnley dalam Liga Perdana di Old Trafford sejak 1962 itu disahkan menerusi gol pembukaan Chris Wood pada minit ke-39 dan gol Jay Rodriguez selepas rehat dan mendedahkan kerapuhan skuad United yang membuat permulaan terburuk mereka dalam satu musim sejak 1989/1990.

Majoriti penyokong di Old Trafford berdiri apabila bersorak “berdiri jika anda benci (pemilik kelab, keluarga) Glazers” kedengaran di seluruh kelab.

Naib pengerusi eksekutif United, Ed Woodward, juga menjadi sasaran kecaman penyokong sementara hanya sejumlah kecil penyokong yang masih kekal dalam stadium sehingga wisel penamat, mencemuh Solskjaer dan pemainnya.

Bekas pemain pertahanan United, Rio Ferdinand, yang pernah memenangi Liga Perdana dan Liga Juara-Juara bersama kelab, menyelar prestasi United dan mendesak keluarga Glazer untuk mengambil tindakan untuk menangani masalah ini.

“Saya tidak dapat mempertahankan perkara ini,” kata Ferdinand ketika memberitahu penyiaran BT Sport. “Kanak-kanak yang sekarang berada di sekolah-sekolah di seluruh negara tidak akan mahu memakai jersi Manchester United.

“Penyokong sudah meninggalkan stadium pada minit ke-84! Ia memalukan. Orang di pengurusan tertinggi kelab harus melihat dan cuba melakukan sesuatu, buat satu perancangan, duduk berbincang untuk melihat di mana arah tuju kelab tetapi saya tidak melihat ia berlaku.”

United, yang kekal di tangga kelima liga, berada enam mata di belakang Chelsea yang menduduki slot terakhir kelayakan ke Liga Juara-Juara musim hadapan.

Solskjaer mengakui United harus menyalahkan diri mereka sendiri tetapi mendakwa pemain muda dalam skuad beliau selayaknya diberi lebih banyak masa.

“Pemain memberikan segala-gala yang mereka ada. Sesetengah daripada mereka mengharungi tempoh ini buat kali pertama dalam kehidupan mereka,” kata beliau.

“Ia juga sangat sukar bagi mereka. Jangkaan di kelab ini sentiasa tinggi, dan beberapa pemain bermain 10, 12 atau 15 perlawanan dan ia bukan mudah untuk mereka.

“Sudah tentu saya akan menyokong mereka. Saya akan berada di s ini untuk membantu mereka mengharunginya. Apabila anda di Man United, akan sentiasa ada kritikan.”

Tottenham memerlukan gol kemenangan lewat dari Son Heung-min untuk menamatkan empat perlawanan berturut-turut tanpa menang dan mengembalikan saingan untuk empat tangga teratas liga.

Dele Alli membuka jaringan untuk gol pertama spurs dari tiga perlawanan tetapi Teemu Pukki mengikat kedudukan dari satu tendangan penalti ketika berbaki 20 minit permainan.

Tandukan kencang Son 11 minit sebelum tamat permainan memastikan Spurs berkongsi mata dengan United tetapi berada di tangga keenam dengan perbezaan gol. — AFP

Advertisement