Anda di sini

Pesawat bomba terhempas ketika padam kebakaran, tiga kru maut

Advertisement
 Gambar fail 10 Januari lalu menunjukkan pesawat pengebom air besar C-130 Hercules milik Perkhidmatan Bomba Luar Bandar NSW menjatuhkan perencat kebakaran semasa operasi memadam kebakaran hutan di Penrose. — Gambar AFP
MALANG: Gambar fail 10 Januari lalu menunjukkan pesawat pengebom air besar C-130 Hercules milik Perkhidmatan Bomba Luar Bandar NSW menjatuhkan perencat kebakaran semasa operasi memadam kebakaran hutan di Penrose. — Gambar AFP

SYDNEY: Sebuah pesawat pengebom air besar terhempas ketika cuba memadam kebakaran ke barat daya Sydney semalam, mengorbankan kesemua tiga kru Amerika Syarikat (AS) di dalamnya, kata pegawai Australia.

Pesuruhjaya Jabatan Bomba Luar Bandar New South Wales (NSW) Shane Fitzsimmons berkata, pihak berkuasa terputus hubungan dengan pesawat C-130 Hercules milik Kanada yang beroperasi dalam wilayah Snowy Monaro sejurus sebelum jam 1.30 petang waktu tempatan semalam.

Fitzsimmons berkata, ketiga-tiga kru yang maut adalah warga AS, antara negara yang telah menghantar anggota bomba pakar untuk membantu memadam kebakaran hutan yang buruk di Australia.

Insiden itu menjadikan bilangan kematian dalam kebakaran hutan di Australia sekurang-kurangnya 32 sejak krisis itu bermula September lalu.

Punca nahas tidak segera diketahui tetapi Fitzsimmons menyatakan sebelum ini bahawa ribut kuat amat menyukarkan usaha untuk menerbangkan pesawat tangki air yang besar.

Syarikat Kanada Coulson Aviation yang memiliki pesawat itu, menghentikan operasi pesawat tangki air lainnya dan berusaha untuk memadamkan kebakaran di negeri-negeri New South Wales dan Victoria sementara menunggu reviu bagi pesawat, kata Fitzsimmons.

Laporan awal membayangkan bebola api besar terbentuk apabila pesawat itu terhempas, katanya.

“Ada beberapa anggota bomba dan kru di tempat kejadian berusaha untuk membendung kebakaran,” katanya.  

Ketua Menteri NSW Gladys Berejiklian berkata, nahas itu mengetengahkan bahaya yang dihadapi anggota bomba dalam usaha memadamkan kebakaran besar di tenggara Australia.

“Lebih 70 pesawat digunakan pada hari ini sahaja,” katanya. — AFP

Advertisement