Anda di sini

MBRKK ambil langkah berjaga-jaga

Advertisement
JAMAL
JAMAL

KOTA KINABALU: Masjid Bandaraya Kota Kinabalu (MBRKK) mengambil langkah berjaga-jaga akibat penularan wabak H1N1 dan wabak koronavirus Wuhan yang sedang berlaku sekarang. 

Ini selaras dengan berapa larangan kewaspadaan negara ini dan beberapa negara luar.

Ekoran daripada itu pihak pengurusan tertinggi MBRKK mengambil langkah bersifat sementara tidak membenarkan semua pelancong asing untuk berkunjung ke MBRKK berkuatkuasa serta-merta mulai hari ini, (Jumaat).

Penutupan itu disahkan Pengerusi MBRKK, Datuk Haji Jamal Tun Haji Sakaran ketika dihubungi di sini, hari ini.

Jamal berkata, tindakan itu dibuat susulan langkah Kerajaan Negeri Sabah yang kini meningkatkan pengawasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK).

Dalam pada itu kini Kerajaan Wuhan China tidak membenarkan rakyatnya keluar ke beberapa negara lain berikutan penularan wabak koronavirus itu.

Jamal berkata, pihak pengurusan tertinggi MBRKK bimbang wabak itu boleh menular jika tidak dibendung awal memandangkan MBRKK juga antara tumpuan utama pelancong asing setiap hari.

Sehubungan itu, katanya, keputusan itu dilihat bertepatan dengan keperluan semasa dan sangat sesuai bagi menjaga kepentingan dan keselamatan awam untuk mengelak penularan wabak itu.

Katanya, larangan termasuk tidak membenarkan bas pelancong, kereta Grab dan teksi membawa pelancong asing ke masjid seperti yang biasa diamalkan sebelum ini.

Masjid Bandaraya Kota Kinabalu (MBRKK) menerima kunjungan antara 500 hingga seribu pelancong dari seluruh dunia setiap hari.

Jika keadaan pulih seperti sedia kala pihak MBRKK akan membenarkan semula para pelancong asing berkunjung ke MBRKK nanti.

Advertisement