Anda di sini

Ling saran bonus hargai jasa guru, kakitangan sekolah menengah persendirian Cina

Advertisement
 Ling, Dr Ting serta yang lain bergambar bersama guru dan kakitangan RRSS selepas majlis penyampaian bonus khas di sekolah berkenaan di Miri, semalam.
UNTUK ALBUM: Ling, Dr Ting serta yang lain bergambar bersama guru dan kakitangan RRSS selepas majlis penyampaian bonus khas di sekolah berkenaan di Miri, semalam.

MIRI: Ahli Dewan Negara Senator Alan Ling berhasrat mencadangkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi memasukkan peruntukan khas atau bonus kepada guru dan kakitangan sekolah menengah persendirian Cina sebagai pengiktirafan sumbangan mereka kepada pendidikan negara.

Jelasnya, cadangan terbabit diharap dapat dimasukkan ke dalam bajet akan datang sebagai usaha memberi suntikan semangat dan motivasi kepada guru serta kakitangan sekolah berkenaan.

“Mereka juga seperti guru lain iaitu aset penting dalam mendidik anak-anak dan generasi masa depan kita dan bagi saya mereka tidak seharusnya dipinggirkan dari segi memberi bonus khas untuk menghargai dan mengiktiraf sumbangan mereka.

“Selain dari segi peruntukan untuk meningkatkan kemudahan di sekolah menengah persendirian Cina, kita juga perlu menitikberatkan kebajikan perguruan mereka sekali gus sebagai motivasi kepada mereka,” ujarnya.

Ling berkata demikian kepada media selepas majlis menyampaikan bonus khas kepada guru dan kakitangan di Riam Road Secondary School (RRSS) di sini, semalam.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut Dr Ting Tiong Choon, Ketua Pegawai Operasi RRSS John Wong dan Pengetua RRSS Richard Liu.

Jelas Alan Ling, beliau mahu mencadangkan peruntukan khas terbabit dalam bajet yang melibatkan sejumlah RM3.5 juta hingga RM4 juta untuk guru dan kakitangan sekolah menengah persendirian Cina di seluruh negara.

“Kita menganggarkan seramai 7,000 guru dan kakitangan yang melibatkan 61 sekolah persendirian Cina seluruh negara.

“Dari segi kemudahan sekolah tersebut, kerajaan persekutuan telah menyalurkan bantuan, tetapi dari segi aspek kebajikan guru serta kakitangannya belum lagi. Diharapkan cadangan ini dapat dipertimbangkan dalam bajet akan datang,” ujarnya.

Ling yang juga setiausaha Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak berkata majlis penyampaian bonus khas kepada guru dan kakitangan RRSS berkenaan merupakan inisiatif murni Ahli Parlimen dan ADUN daripada DAP Sarawak.

Sementara itu menurut Dr Ting, usaha berkenaan sebagai penghargaan kepada guru dan kakitangan sekolah menengah persendirian Cina tersebut.

“DAP Sarawak telah memberikan bonus khas kepada 14 sekolah persendirian Cina di seluruh Sarawak bermula di Kuching, Sibu, Bintulu dan hari ini (semalam) di Miri.

“Di Miri, terdapat dua sekolah menengah persendirian Cina iaitu RRSS dan Sekolah Menengah (SM) Pei Min Miri yang turut menerima manfaat berkenaan, di mana masing-masing menerima RM500,” jelasnya.

Pada masa sama ujar Dr Ting berkata, beliau juga berharap Kerajaan Sarawak turut dapat mempertimbang memberi ganjaran kepada guru di sekolah persendirian terbabit.

“Seperti guru di sekolah kebangsaan, mereka tidak seharusnya diabaikan.

“Mereka juga menyumbang kepada pembangunan pendidikan di Sarawak dan harus sama dihargai,” katanya.

Tambahnya, seramai 157 guru dan kakitangan RRSS dan SM Pei Min yang melibatkan peruntukan berjumlah RM78,500 menerima manfaat bonus khas terbabit di sini.

Advertisement