Anda di sini

KKTP komited perbaiki sistem penyampaian perkhidmatan

Advertisement
 Jaujan (belakang, tengah) menyaksikan Majlis Menandatangani MOU di antara KKTP yang diwakili oleh Stanley dan LHDN oleh  Sabin.
MOU: Jaujan (belakang, tengah) menyaksikan Majlis Menandatangani MOU di antara KKTP yang diwakili oleh Stanley dan LHDN oleh  Sabin.

KOTA KINABALU:  Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) komited memperbaiki sistem penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat. 

Oleh itu, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr. Jaujan Sambakong berkata, warga kementerian itu digesa menjadikan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) sebagai penanda aras yang boleh dicontohi serta agensi pengutip cukai terbaik di Malaysia.

"Kita komited menjadikan visi pemacu pembangunan mampan melalui penyampaian perkhidmatan yang kreatif dan berinovatif secara berterusan kepada masyarakat. 

"Oleh yang demikian, perkongsian bijak atau kolaborasi LHDN bertujuan untuk memperbaiki sistem penyampaian perkhidmatan yang berkesan dan meningkatkan pungutan hasil cukai untuk kepentingan negara dan Sabah khususnya.

"Bagi mencapai hasrat tersebut pihak KKTP diarah agar mana-mana taklimat atau seminar yang dianjurkan oleh KKTP bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) LHDN hendaklah dilibatkan sama khusus untuk berkongsi pengalaman, pandangan dan nasihat kepada semua PBT," ujarnya. 

Jelas beliau, objektif utama MOU antara LHDN dan KKTP adalah untuk memperkukuhkan hubungan kerjasama antara kerajaan dan pengutip cukai di peringkat persekutuan dan negeri atau dalam erti kata lain bertanggungjawab memastikan negara dan rakyat mendapat manfaat pulangan dari perolehan kerajaan.

Jaujan yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah mendedahkan kerjasama ini merupakan satu platform untuk kedua pihak berkongsi maklumat berkaitan percukaian bagi mengurangkan jurang ketirisan cukai dan meningkatkan hasil kutipan cukai yang akan digunakan untuk tujuan pembangunan kemudahan asas rakyat.

Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) antara KKTP Sabah dan LHDN di sini,  pagi tadi.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Sri Dr. Sabin Samitah, Timbalan Setiausaha Tetap KKTP, Stanley Chong Hon Chung, Pengarah LHDN Sabah, Datuk Hajam Lajah Alam, Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Nordin Siman.

  • oleh
  • Advertisement