Anda di sini

HK buka zon kuarantin virus Wuhan

Advertisement
 Orang ramai memakai topeng perlindungan berbaris di balai berlepas stesen kereta api Kowloon Barat di Hong Kong, semalam. — Gambar AFP
BERHATI-HATI: Orang ramai memakai topeng perlindungan berbaris di balai berlepas stesen kereta api Kowloon Barat di Hong Kong, semalam. — Gambar AFP

HONG KONG: Hong Kong mengubah dua kem percutian, termasuk sebuah bekas berek tentera, menjadi zon kuarantin untuk orang yang mungkin telah mendekati pembawa virus Wuhan, pegawai mengumumkan semalam.

Hab kewangan antarabangsa itu berada dalam keadaan berjaga-jaga bagi virus tersebut, yang sudah mengorbankan 17 orang sejak wabak itu bermula di bahagian tengah China.

Tempat sama digunakan sebagai kemudahan kuarantin sewaktu wabak berdarah Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) 17 tahun lalu.

Hampir 300 orang di Hong Kong mati kerana SARS, tragedi yang meninggalkan impak psikologi yang amat besar di salah sebuah tempat paling padat di muka bumi.

Setakat ini dua orang di bandar raya itu didapati positif koronavirus baharu itu yang sama dengan patogen SARS.

Kedua-dua mereka telah melawat Wuhan beberapa hari lalu.

Mereka sedang menerima rawatan dalam wad pengasingan di hospital.

Hab perjudian Macau, yang amat popular sekali di kalangan pelancong tanah besar, turut mengesahkan dua kes pada minggu ini.

Semalam biro pelancongan Macau mengumumkan ia telah membatalkan semua perayaan rasmi sempena Tahun Baharu Cina sebagai tindak balas kepada wabak berkenaan.

Di Hong Kong, pegawai mengumumkan mereka akan mengubah dua taman percutian untuk mengasingkan mana-mana kes berpotensi sementara mereka menunggu hasil ujian pemeriksaan.

“Kita akan menyediakan pasukan kakitangan yang lengkap untuk mengendalikan kem kuarantin,” kata Wong Ka-hing, selaku pengarah Pusat Perlindungan Kesihatan, kepada pemberita.

Wong berkata, tiga orang yang mendekati dua kes yang disahkan akan dibawa ke sebuah kem dalam daerah luar bandar Sai Kung lewat semalam.

Sebuah lagi kem percutian, bekas berek tentera British di Pulau Hong Kong, sedang disediakan untuk dijadikan sebuah kemudahan kuarantin.

Tiga mangsa tersebut adalah isteri salah satu kes yang disahkan dan dua kakitangan perubatan, kata pegawai kesihatan.

Mereka yang didapati positif virus Wuhan kemudian akan menerima rawatan dalam wad pengasingan di hospital di bandar raya tersebut, tetapi zon kuarantin kem percutian akan mengurangkan risiko penularan virus itu sementara menunggu keputusan ujian pemeriksaan.

Sistem sama digunakan sewaktu wabak SARS, yang mengubah Hong Kong dengan dramatik kepada sebuah tempat di mana populasi kini jauh lebih sedar tentang jangkitan dan standard kebersihan.

Tombol pintu, butang lif dan tombol lif dalam bangunan pencakar langit yang begitu banyak dan stesen kereta api bawah tanah di bandar raya itu dinyah kuman secara rutin beberapa kali sehari, manakala bersin mengejut di dalam gerabak kereta api bawah tanah yang sesak boleh menyebabkan pengguna lain bergegas menjauhkan diri.

Orang ramai memakai topeng perlindungan, bukan sahaja pada musim selesema sepanjang musim salji, malah banyak kedai kehabisan bekalan sejak beberapa hari lalu.

Kesukaran Hong Kong dalam usaha memerangi SARS diburukkan oleh kerahsiaan yang menyelubungi wabak itu di tanah besar China.

Namun pegawai menegaskan mereka lebih bersiap sedia berbanding pada 2003 dan berkata pihak berkuasa China jauh lebih telus dengan data.

Walau bagaimanapun, syak wasangka terhadap tanah besar masih tinggi di Hong Kong, terutamanya pada waktu yang mengalami tunjuk perasaan antikerajaan yang dicetuskan oleh kebimbangan bahawa Beijing sedang menghakis kebebasan yang unik di bandar raya tersebut.

Semalam pegawai kesihatan ditanya pemberita kenapa mereka tidak menasihati semua orang yang tiba di sambungan kereta api kelajuan tinggi di bandar raya itu dengan tanah besar untuk mengisi borang deklarasi kesihatan.

“Kami kini sedang menimbang secara aktif untuk melanjutkan deklarasi kesihatan wajib agar meliputi hubungan kereta api kelajuan tinggi,” kata Wong.

Beliau menambah, sebarang keputusan untuk membatalkan perayaan Tahun Baharu Cina seperti apa yang dibuat Macau perlu dibuat oleh kerajaan.

Pegawai kerajaan turut dikritik oleh penggubal undang-undang pembangkang kerana membenarkan ahli keluarga kes pertama yang disahkan untuk meneruskan perjalanan ke Manila.

Pengusaha kereta api di Hong Kong MTR Corporation berkata, ia tidak lagi menjual tiket berulang alik ke Wuhan.

Media tempatan melaporkan barisan panjang di terminal kelajuan tinggi semalam apabila penumpang menuntut bayaran balik bagi tiket yang dibeli. — AFP

Advertisement