Anda di sini

Bomba sedia hadapi kecemasan sepanjang TBC

Advertisement
 Wan memakaikan tanda pangkat baharu kepada salah seorang anggotanya semalam.
TAHNIAH: Wan memakaikan tanda pangkat baharu kepada salah seorang anggotanya semalam.

SIBU: Pemangku Ketua Zon Empat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Wan Kamarudin Wan Ahmad berkata, bilangan anggota dan pegawai dikekalkan sepanjang sambutan perayaan Tahun Baru Cina (TBC).

Katanya, ia bertujuan memastikan keselamatan rakyat terjamin sepanjang musim perayaan yang akan disambut Sabtu ini.

“Di samping menjalankan rondaan di jalan-jalan utama, kita juga akan melakukan pemeriksaan di premis perniagaan yang dikunjungi orang ramai bagi memastikan ia selamat dikunjungi.

"Selain itu, anggota bomba dan penyelamat bukan sahaja bersiap sedia di balai tetapi turut ditempatkan di lokasi tertentu yang terletak agak jauh dari balai bomba dan penyelamat supaya bantuan segera dapat diberikan jika berlaku kecemasan," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pemakaian Tanda Pangkat Pegawai Bomba KB22 (KUP) Zon 4 Sarawak.

Menurut Wan, anggota dan pegawainya akan dibahagikan kepada beberapa bahagian serta ditugaskan mengikut syif dan jadual yang ditetapkan.

Sementara itu, 68 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah, Sentral Sibu, Song, Kapit, Tanjung Manis dan Daro hadir pada majlis berkenaan yang diadakan di BBP Sungai Merah di sini.

Manakala dua lagi majlis yang sama diadakan di Bintangor membabitkan BBP Sarikei, Bintangor dan Kanowit manakala satu lagi acara dianjurkan di Mukah.

Wan berkata, majlis ini diraikan sebagai penghargaan dan penghormatan kepada para anggota bomba yang telah menerima kenaikan pangkat dan memberi sokongan moral kepada para penerima agar terus berkhidmat dengan tahap yang terbaik.

  • oleh
  • Advertisement