Anda di sini

Bersama bina kemakmuran

Advertisement
TUN TAIB
TUN TAIB

KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata rakyat pelbagai kaum di negeri ini mesti meneruskan usaha bersama-sama untuk membina kekayaan serta kemakmuran Sarawak khasnya dan Malaysia amnya.

Beliau percaya pada masa akan datang semakin ramai rakyat akan mendapat kelayakan dan kemahiran lebih baik serta lebih memahami bahawa bekerjasama antara satu sama lain adalah sangat penting untuk membina negara maju.

Menurutnya, Malaysia lebih-lebih Sarawak sangat bertuah kerana rakyatnya yang berbilang kaum dan kepercayaan saling menghormati serta memahami antara satu sama lain.

“Oleh itu, saya mesti terus bercakap mengenai perpaduan semua kaum tanpa mengira asal kaum dan kepercayaan mereka.

“Sebagai contoh, pelbagai kumpulan etnik boleh melihat kebaikan dalam kalangan masyarakat Cina walaupun mereka bukan Cina atau Cina boleh melihat kebaikan dalam kalangan Melayu, Iban, Bidayuh atau Orang Ulu walaupun mereka bukan Bumiputera dan mereka mesti terus melihat kebaikan antara satu sama lain,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perutusannya sempena Tahun Baharu Cina 2020 yang disambut pada 25 dan 26 Januari ini.

Justeru, Tun Taib berkata setiap kaum di negeri ini perlu melihat sambutan Tahun Baharu Cina sebagai acara penting untuk semua kaum berinteraksi, merapatkan hubungan dan perpaduan.

Beliau berkata, Tahun Baharu Cina atau perayaan lain seperti Hari Raya Aidilfitri dan Gawai Dayak bukan hanya diraikan oleh kaum tertentu sahaja, tetapi semua kaum yang dapat merapatkan hubungan persahabatan sedia ada.

“Selepas bertahun-tahun kita mendapati bahawa kita mendapat banyak manfaat daripada kepelbagaian budaya, antaranya perayaan yang diraikan oleh semua.

“Semua rakyat sama ada Melayu, Cina, Iban, Bidayuh, Orang Ulu atau India, telah menyumbang kepada keunggulan Sarawak dan Malaysia konsisten dengan tema ‘Mempercepatkan Pertumbuhan untuk Kesejahteraan Semua Rakyat Sarawak’,” katanya.

Tun Taib menambah, pada tahun ini banyak diperkatakan mengenai keinginan dan cita-cita Malaysia mencapai status negara maju.

“Kita mungkin belum mencapai sasaran ini tetapi ia seharusnya dalam genggaman kita. Semoga Tahun Tikus akan membawa tuah yang melimpah ruah kepada kita semua.

“Semoga kita semua dirahmati Tuhan dan diberi keberanian, kebijaksanaan dan kesungguhan membina masa depan baharu untuk generasi akan datang. Gong Xi Fa Cai,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement