Anda di sini

Barcelona, Real Madrid diberikan cabaran sengit

Advertisement
 Griezmann (kiri) menyaksikan bola rembatannya melepasi penjaga gol Ibiza sebelum menerjah jaring untuk gol kedua Barca pada perlawanan di  Ibiza, Sepanyol kelmarin. — Gambar AFP
GOL!: Griezmann (kiri) menyaksikan bola rembatannya melepasi penjaga gol Ibiza sebelum menerjah jaring untuk gol kedua Barca pada perlawanan di Ibiza, Sepanyol kelmarin. — Gambar AFP

MADRID, Sepanyol: Dua kelab gergasi La Liga Sepanyol masing-masing diberikan cabaran sengit oleh lawan dari divisyen tiga dalam pertandingan Copa del Rey selepas Barcelona memerlukan dua gol lewat untuk menewaskan Ibiza dan Real Madrid juga dipaksa berhempas-pulas untuk menewaskan Unionistas de Salamanca.

Barcelona berada 44 anak tangga hierarki liga Sepanyol berbanding Ibiza dengan Real Madrid berada 56 anak tangga di hadapan Unionistas tetapi dua kelab bawahan liga itu hampir mencipta kejutan besar sebelum Ibiza tewas 1-2 dan Unionistas tewas 1-3 di hadapan penyokong mereka.

Dengan Lionel Messi direhatkan dan tidak langsung berada dalam senarai perlawanan, Antoine Griezmann menjadi penyelamat Barcelona apabila menjaringkan dua gol dalam separuh masa kedua, termasuk gol kemenangan minit ke-94 selepas Pep Caballe meletakkan pasukan tuan rumah di hadapan.

“Menjaringkan gol memberikan mereka keyakinan,” kata jurulatih Barca, Quique Setian. “Kami agak hambar, mudah melepaskan bola dan ia memberikan mereka peluang. Ia bukan mudah.”

Rasa tidak selesa juga dirasai oleh Real Madrid, yang bolos gol penyamaan dalam separuh masa kedua ekoran gerakan dan penyudah cantik pemain Unionistas, Alvaro Romero tetapi Real Madrid kembali di hadapan lima minit kemudian.

Juan Gongora tertolak bola ke pintu golnya sendiri selepas Gareth Bale, yang kembali dari kecederaan, menjaringkan gol pertama beliau bersama Real sejak 1 September.

Bale sekali lagi dikaitkan dengan perpindahan dari Real bulan ini dan beliau tidak meraikan golnya, sekali gus menguatkan lagi spekulasi perpindahannya.

Tetapi pada akhirnya, penyokong Unionistas tetap berbangga seperti penyokong Ibiza yang bertemu dengan pasukan glamour dan terbesar dalam bola sepak Sepanyol.

Minggu lepas, Barcelona mengungguli Liga Wang Bola Sepak Deloitte dengan pendapatan keseluruhan 959.3 juta euro pada musim 2018/2019 dengan diekori rapat Real Madrid, kelab bola sepak kedua terkaya di dunia dengan pendapatan 864 juta euro.

Unionistas, yang hanya ditubuhkan pada 2013, dibina oleh penyokong mereka sendiri selepas UD Salamanca muflis.

Ia adalah satu impian untuk bertemu Real Madrid tetapi mereka hampir beraksi di gelanggang lawan kerana stadium kecil mereka hanya mempunyai satu zon tempat duduk dan pencahayaan yang perlu dinaik taraf.

Ibiza bagaimanapun kelab yang lebih baharu, yang hanya dibentuk pada 2015 dan bermain di divisyen lima tiga tahun yang lalu.

Gol Griezmann adalah sangat penting buat jurulatih baharu Barcelona, Setien, yang meraikan perlawanan pertama beliau sebagai jurulatih dengan kemenangan 1-0 ke atas Granada Ahad lepas.

Walaupun menguasai hampir sepanjang permainan, jentera serangan Barca kelihatan tumpul dan hanya mempunyai satu cubaan dalam separuh masa pertama, jumlah paling rendah dalam mana-mana perlawanan mereka musim ini.

Dengan melihat perlawanan menentang Valencia dalam La Liga hujung minggu ini, Setien merehatkan Messi, Sergio Busquets dan Gerard Pique dari skuad. Pemain muda, Ansu Fati, Riqui Puig dan Carles Perez diturunkan dalam kesebelasan utama.

Ibiza kelihatan memulakan permainan dengan lebih yakin dan walaupun Barca mengawal bola, mereka lebih berbisa melakukan serangan apabila membuka jaringan seawal minit kesembilan.

Puig hilang fokus apabila Caballe melepasi kawalannya untuk menyempurnakan hantaran Javi Perez.

Ibiza hampir menambah jaringan sebanyak dua kali dengan cubaan Angel Rodado tidak kemas sebelum rembatan Rai Nascimento terkena palang.

Pemain Ibiza mula kelihatan keletihan dalam separuh masa kedua, membolehkan Griezmann mengikat kedudukan pada minit ke-72 dari umpanan Frenkie de Jong.

Pemain Ibiza membayangkan tambahan 30 minit permainan sebelum Griezmann menamatkan permainan dengan gol kemenangan pada minit kecederaan.

Pada perlawanan lain, Valencia menewaskan Logrones 1-0 sementara Tenerife, kelab divisyen dua, mengejutkan kelab La Liga, Real Valladolid 2-1. — AFP

Advertisement