Anda di sini

‘Bad Boys’ disambut baik di box office AS, ‘1917’ beri saingan

Advertisement
 Gambar fail yang bertarikh pada 4 Disember 2019 ini menunjukkan pengarah filem British Sam Mendes tiba untuk acara tayangan perdana filem ‘1917’ di London. Filem pilihan utama untuk memenangi Oscar dan menerima pujian pengkritik ‘1917’, pendahulu box office minggu lepas dari Universal menduduki tempat kedua dalam carta box office pada hujung minggu. — Gambar AFP
NO.2: Gambar fail yang bertarikh pada 4 Disember 2019 ini menunjukkan pengarah filem British Sam Mendes tiba untuk acara tayangan perdana filem ‘1917’ di London. Filem pilihan utama untuk memenangi Oscar dan menerima pujian pengkritik ‘1917’, pendahulu box office minggu lepas dari Universal menduduki tempat kedua dalam carta box office pada hujung minggu. — Gambar AFP

STUDIO Sony memakan masa selama 17 tahun, tetapi sekuel terbaharu ‘Bad Boys’ dipercayai telah membuahkan hasil, dengan mengaut AS$73 juta pada hujung minggu percutian yang panjang di Amerika Syarikat, pemerhati industri Exhibitor Relations melaporkan Selasa lepas.

‘Bad Boys for Life’ dibintangi Will Smith dan Martin Lawrence sebagai penyiasat yang suka bergurau senda dan bersatu semula selepas bertahun-tahun berjauhan untuk menentang sebuah kartel dadah yang kejam di Miami.

Filem sebelum ini ‘Bad Boys II’ dibuat pada 2003, lapan tahun selepas filem asal ‘Bad Boys’.

Di tempat kedua adalah filem pilihan utama untuk memenangi Oscar dan menerima pujian pengkritik ‘1917’, pendahulu box office pada hujung minggu lepas dari Universal.

Drama Perang Dunia I itu membuat jualan tiket bernilai AS$26.9 juta dalam tempoh Jumaat hingga Isnin.

Walaupun tidak ada bintang besar, ia sudah memenangi anugerah Golden Globe dan anugerah Producers Guild of America bagi drama terbaik.

Satu lagi keluaran baharu dari Universal, ‘Dolittle’, yang dibintangi Robert Downey Jr, menduduki tempat ketiga dengan AS$28.3 juta dalam tempoh empat hari.

Berdasarkan sebuah buku kanak-kanak yang disukai ramai tentang seorang doktor haiwan yang dapat bercakap dengan haiwan, filem itu telah dikecam oleh pengkritik – yang menyifatkannya sebagai “tidak bernyawa sama sekali”, “sebuah filem pasir jerlus” dan “sama sekali tidak lucu”.

Kehadiran Downey, yang amat popular sekali dalam filem-filem adiwira Marvel, dan barisan suara semua bintang termasuk Emma Thompson, Ralph Fiennes, Antonio Banderas, Rami Malek, Octavia Spencer dan Marion Cotillard, mungkin telah membantu untuk mendorong kejayaannya.

Filem terbitan Sony ‘Jumanji: The Next Level’ jatuh satu anak tangga dari hujung minggu lepas ke tempat keempat, selepas ia mengaut AS$12.7 juta.

Sekuel aksi itu dibintangi Dwayne ‘The Rock’ Johnson dan Kevin Hart.

Tempat kelima diduduki filem Disney ‘Star Wars: The Rise of Skywalker’, dengan AS$10.6 juta. Pada peringkat global, finale bagi ‘Skywalker Saga’ yang mempunyai sembilan buah filem itu kini sudah mencecah AS$1 bilion.

Melengkapi 10 filem teratas adalah ‘Little Women’ (AS$8.2 juta), ‘Just Mercy’ (AS$7.5 juta), ‘Knives Out’ (AS$5.3 juta), ‘Like a Boss’ (AS$4.8 juta), dan ‘Frozen II’ (AS$5.3 juta). — AFP

Advertisement