Anda di sini

Tambadau tewaskan Stalion, Garcia gagal pikat jurulatih

Advertisement
HENRY SAIMPON
HENRY SAIMPON

KOTA KINABALU: Tambadau Sabah menang 2-1 ke atas Stalion FC pada perlawanan persahabatan keduanya di Stadium Binan, Filipina hari ini.

Stalion mendahului 1-0 pada separuh masa pertama tetapi Sabah bangkit dengan dua gol pada separuh masa kedua.

Pemain pertahanan import, Park Tae Su menjaringkan gol penyamaan manakala gol kemenangan dijaringkan pemain sayap, Alto Linus.

Pengurus pasukan, Henry Saimpon berkata, ia persembahan lebih baik pasukan berbanding ketika menang 2-0 ke atas Kaya FC pada perlawanan persahabatan pertamanya juga di venue sama, Selasa lalu.

"Pemain menunjukkan permainan yang semakin baik berbanding perlawanan pertama dan semakin nampak keserasian pergerakan permainan mengikut strategi baru yang `coach' Kurniawan terapkan.

"Walaupun penyerang-penyerang utama tidak menjaringkan gol, pemain lain dapat menjaringkan gol. Ini juga adalah satu keadaan yang baik buat pasukan di mana kita mahu setiap peluang yang ada dapat diterjemahkan kepada jaringan, tidak kiralah pemain yang mendapat peluang itu dari posisi mana. Keseluruhannya saya puas hati dengan persembahan pasukan," kata Henry.

Henry berkata, prestasi empat pemain import termasuk Hector Omar Ramos Lebron yang baru menyertai semula pasukan juga semakin baik.  

Bagaimanapun, calon import kelima, Joseph Marrero Garcia yang diuji pada  perlawanan itu gagal memikat ketua jurulatih, Kurniawan Dwi Yulianto.

"Ramos mungkin masih perlu untuk menyesuaikan semula diri dengan tugas dan corak permainan baru yang diterapkan jurulatih manakala calon import kelima itu (Garcia) mungkin kita tidak jadi ambil kerana belum sesuai dengan keperluan pasukan (di posisi penyerang tengah)," kata Henry.

Beliau berkata, pasukan masih dalam pembaikan dan perlukan lebih banyak perlawanan pemanas badan dengan pasukan berkualiti bagi memantapkan persefahaman pemain tetapi dua perlawanan di Filipina itu sudah memberikan gambaran awal gandingan-gandingan kesebelasan utama.

Henry berkata, usaha akan diteruskan bagi mendapatkan pemain import kelima.

Empat import setakat ini ialah Rodoljub Paunovic (penyerang) dan Park yang dikekalkan dari skuad musim lalu manakala dua yang baru diserapkan ialah Ramos dan Dennis Buchening, kedua-duanya penyerang.

Ramos ialah bekas penyerang import Sabah dari Puerto Rico pada 2018 yang lebih dikenali sebagai Pito manakala Dennis adalah pemain kacukan Thailand-Jerman sebagai muka baru pasukan musim ini.

Selain empat import itu, turut dibawa dalam dua perlawanan di Filipina ialah Rozaimie Rohim, Wan Muhd Azraie Wan Teh, Alto, Arius Dius, Dendy Lowa, Evan Wensley Wenceslaus, Jenius Karib, Mafry Balang, Maxsius Musa, Mohd Azwan Fatah, Mohd Azizan Nordin, Mohd Syukri Baharun, Muhammad Zubir  Mohd Azmi, Randy Baruh, Rawilson Batuil, Ricco Nigel Milus dan Ummareng Bacok.

"Apabila pasukan kita sudah lengkap sepenuhnya,  saya harap kita dapat perlawanan pemanas badan sama ada di tempat sendiri atau di luar menentang pasukan yang lebih kuat berbanding dengan dua lawan di Filippina ini," katanya.

Tambdau Sabah akan memulakan kempennya dalam saingan Liga Super musim ini menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 1 Mac.

  • oleh
  • Advertisement