Anda di sini

Selamat menyambut Tahun Baharu Cina 2020

Advertisement
 

Sempena Tahun Tikus sebagai permulaan dan pembaharuan dalam kehidupan

TAHUN Baharu Cina 2020 (TBC) bakal tiba hujung minggu ini dianggap istimewa dengan permulaan dekad baharu.

TBC adalah pada bulan baharu bagi tahun baru dan ia juga merupakan permulaan kepada musim bunga dan TBC di sesetengah negara yang mempunyai empat musim dipanggil perayaan Musim Bunga.

TBC merupakan perayaan paling penting dalam masyarakat Cina di seluruh dunia. Perayaan yang disambut pada 25 Januari ini dianggap terbaik sekali sempena Tahun Tikus sebagai permulaan dan pembaharuan dalam kehidupan.

Ia merupakan perayaan yang sangat popular bagi menyambut tahun baharu dalam kalendar qamari Cina yang terbahagi kepada kitaran 12 tahun dan dinamakan sempena nama haiwan.

 Yang paling penting, hari pertama TBC merupakan masa apabila keluarga Cina menziarahi orang tua mereka dan ahli keluarga paling senior.
ZIARAH: Yang paling penting, hari pertama TBC merupakan masa apabila keluarga Cina menziarahi orang tua mereka dan ahli keluarga paling senior.

Perayaan TBC berkait rapat dengan kepercayaan dan adat orang Cina terdahulu menjadikannya perayaan tradisional. Ia merupakan perayaan bangsa Cina, bukannya perayaan keagamaan.

Bagi kaum Cina, tahun baharu melambangkan permulaan, titik permulaan dalam nasib dan kehidupan. Sebelum hari tahun baharu bermula, sanak saudara yang jauh akan kembali berkumpul.

TBC dikenali sebagai  perayaan yang disambut dengan meriah dan merupakan sambutan paling besar di dunia kerana populasi masyarakat Cina adalah yang tertinggi di dunia.

Ia merupakan cuti umum di Cina dan juga cuti umum di negara yang terdapat ramai orang Cina seperti di Taiwan,Hong Kong, Macau, Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei, Filipina dan Vietnam.

Perayaan ini  juga disambut di tempat-tempat yang dipengaruhi dengan budaya Cina termasuk Korea, Tibet dan Bhutan, Mongolia, dan Jepun.

Menurut legenda, pada zaman dahulu, Nián ialah seekor raksasa pemakan manusia dari pergunungan, yang muncul setiap 11 tahun, sekitar musim sejuk, untuk memburu manusia.

Orang ramai kemudiannya percaya bahawa raksasa Nian sukar menahan bunyi bising dan warna merah, maka mereka mengusirnya dengan letupan, bunga api dan penggunaan warna merah secara meluas. Adat-adat inilah yang membawa kepada perayaan Tahun Baharu yang sulung. Guo Nien , yang bermaksud 'menyambut tahun baharu', membawa erti harfiah 'meredah raksasa Nian'.

Sambutan TBC disambut dengan menziarahi ahli keluarga, saudara-mara dan sahabat serta penggunaan warna merah yang berlebihan. Golongan muda pula akan melawat golongan tua dan menerima wang angpau dalam sampul merah bagi melambangkan nasib baik, yang diberikan oleh orang yang berkeluarga kepada mereka yang masih belum kahwin.

Perarakan tarian naga atau singa akan diadakan. Lima belas hari selepas perayaan TBC, keramaian ditamatkan dengan perayaan Cap Goh Mei.

 Perayaan TBC berkait rapat dengan kepercayaan dan adat orang Cina terdahulu menjadikannya perayaan tradisional. Ia merupakan perayaan bangsa Cina, bukannya perayaan keagamaan.
KEPERCAYAAN: Perayaan TBC berkait rapat dengan kepercayaan dan adat orang Cina terdahulu menjadikannya perayaan tradisional. Ia merupakan perayaan bangsa Cina, bukannya perayaan keagamaan.

Pada hari-hari sebelum TBC, keluarga-keluarga kaum Cina membersihkan rumah mereka secara menyeluruh, kerana mereka percaya bahawa pembersihan ini menghalau nasib malang dan musibah yang menimpa pada tahun yang berlalu serta menyediakan rumah mereka untuk menjemput nasib baik.

Penyapu dan pengumpul habuk disimpan pada malam sebelum Tahun Baharu dan hari pertama agar nasib baik itu tidak boleh disapu keluar. Rumah dihiasi potongan kertas yang ditulis pepatah mengucap kebahagiaan dan kemakmuran dalam bahasa Cina. Tentunya rumah-rumah dihiasi dengan buah limau sebagai simbol murah rezeki, bunga dan pokok limau.

Acara terbesar pada TBC ialah makan besar yang diadakan pada malam sebelum Tahun Baru, ketika semua ahli keluarga, sama ada tinggal di rumah atau jauh dari kampung halaman, bertemu untuk perayaan.

Jamuan ini biasanya diadakan di rumah yang didiami anggota keluarga paling tua. Jamuan ini amat lumayan dengan makanan yang lazimnya merangkumi daging ayam dan ikan. Ikan sebagai makanan penting, tidak dimakan sampai habis (sebaliknya, bakinya disimpan semalaman), bak pepatah Cina 'nian nian you yu' yang bermakna 'semoga ada lebihnya setiap tahun', yang sama bunyinya dengan 'semoga ada ikan setiap tahun'.

Hari pertama TBC  adalah hari bagi mengundang dewa-dewi dari kayangan dan bumi. Kebanyakan orang yang meraikannya, terutamanya penganut agama Taoist, menghindari diri daripada memakan daging pada hari ini kerana adalah dipercayai bahawa ini memastikan mereka akan lanjut usia.

Yang paling penting, hari pertama TBC merupakan masa apabila keluarga Cina menziarahi orang tua mereka dan ahli keluarga paling senior dalam seluruh keluarga mereka, biasanya ibu bapa, datuk nenek atau moyang.

Terdapat juga keluarga yang mengundang tarian singa sebagai upacara simbolik untuk menyambut tahun baharu sambil menghalau puaka dan musibah dari rumah.

Hari kesembilan TBC merupakan hari bagi kaum Cina untuk menyembah Maharaja Jed di Kayangan di tokong agama Tao. Tambahan pula, hari ini
dianggap sebagai 'tahun baharu' suku kaum Hokkien. Apabila tibanya tengah malam pada hari kelapan tahun baharu, suku Hokkien menyembahkan doa syukur kepada maharaja terbabit. Penyembahan ini termasuk tebu kerana tebu pernah digunakan untuk melindungi suku Hokkien dari ancaman penghapusan beberapa generasi lalu.

Hari ke-15 TBC di kenali sebagai Chap Goh Mei di Malaysia dan Singapura. Ini adalah hari terakhir perayaan TBC yang diraikan sebagai bebola pulut manis dalam sup atau 'Tangyuan', dimakan pada hari ini.

Tangyuan ialah sejenis makanan Cina yang diperbuat daripada tepung pulut. Tepung pulut ini dicampur dengan sedikit air untuk membentuk bebola, kemudian dimasak dan dihidangkan dalam air yang mendidih. Tangyuan bolehlah sama ada berisi atau tanpa isi. Bergantung kepada amalan setempat, hari yang sama ini juga dikenali sebagai Perayaan Tanglung.

Bagi masyarakat Cina di negara kita, sambutan TBC dilihat seolah-olah tidak lengkap tanpa hidangan Yee Sang yang merupakan makanan tradisi yang pastinya menjadi hidangan utama ketika makan besar pada malam sebelum sambutan perayaan itu.

Hidangan Yee Sang dipercayai dicipta kira-kira 1,500 tahun lampau di kawasan pantai selatan Cina di wilayah Chaozhou dan Shantou semasa pemerintahan Dinasti Song.   

 Terdapat juga keluarga yang mengundang tarian singa sebagai upacara simbolik untuk menyambut tahun baharu sambil menghalau puaka dan musibah dari rumah.
TARIAN SINGA: Terdapat juga keluarga yang mengundang tarian singa sebagai upacara simbolik untuk menyambut tahun baharu sambil menghalau puaka dan musibah dari rumah.

Menurut sejarahnya, idea menghasilkan hidangan ini muncul kerana terdapat lebihan makanan seperti keropok, lobak merah, lobak putih, limau bali, halia dan sebagainya selepas merayakan Tahun Baharu Cina. Disebabkan tidak mahu membazir, mereka mencampur saki baki makanan itu dan ditambah dengan perasa seperti sos pelam, lada hitam dan putih serta minyak untuk membangkitkan rasa.

Dengan itu terhasillah hidangan unik yang dipercayai membawa kemakmuran, kemewahan dan tuah dalam masyarakat berkenaan.

Ketika kita mula meraikan sambutan Tahun Tikus, saya doakan tahun ini akan membawa kebahagiaan, kegembiraan dan kesihatan baik untuk kita semua. Kepada kawan kawan saya yang berketurunan Cina saya ucapkan selamat menyambut Tahun Baharu Cina Xin Nien Kuaile Gong Xi Gong Xi.

Advertisement