Anda di sini

Pertelingkahan latari demonstrasi antikerajaan di Colombia

Advertisement
 Para penunjuk perasaan bertelingkah dengan polis antirusuhan semasa demonstrasi antikerajaan Duque di Bogota, kelmarin. — Gambar AFP
KACAU: Para penunjuk perasaan bertelingkah dengan polis antirusuhan semasa demonstrasi antikerajaan Duque di Bogota, kelmarin. — Gambar AFP

BOGOTA: Polis rusuhan yang melepaskan gas pemedih mata dan bom pegun bertelingkah dengan penunjuk perasaan yang melontar batu di Bogota pada Selasa apabila protes antikerajaan disambung semula di seluruh Colombia, menyebabkan 11 orang tercedera dan hampir 100 orang ditangkap.

Tunjuk perasaan juga berlaku di bandar raya utama lain termasuk Cali dan Medellin, dan di seluruh negara pihak berkuasa merekodkan 165 perarakan, rapat umum atau sekatan jalan, kata ketua polis Oscar Atehortua.

Kebanyakan tangkapan dibuat di Bogota dan 10 daripada 11 mangsa yang cedera adalah anggota polis, katanya.

Acara di Bogota bermula pada waktu petang sebagai satu demonstrasi memukul periuk belanga tradisional yang lazim berlaku di Amerika Latin dan pada hujung tahun lepas apabila protes mula-mula meletus untuk membantah kerajaan berusia 17 bulan pimpinan presiden konservatif Ivan Duque.

Apa yang bermula sebagai mogok umum sudah bertukar menjadi tunjuk perasaan tidak puas hati yang lebih luas dengan dasar ekonominya, pengangguran, rasuah politik dan keganasan yang dibiayai dadah.

Pasukan keselamatan masih dikerahkan ke bahagian lama di Bogota menjelang senja pada Selasa.

Datuk Bandar Claudia Lopez berkata hari itu amnya aman, walaupun di beberapa kawasan kejiranan, kumpulan kecil menjadi ganas.

Di pusat bandar raya, seorang wanita berusia 60 tahun bernama Flor Calderon berdiri di antara penunjuk perasaan dengan polis rusuhan, untuk meminta anggota polis membenarkan perarakan maju ke depan.

“Ini adalah perjuangan untuk anda dan cucu anda kerana negara ini dalam bercelaru,” katanya kepada polis sambil mengibarkan bendera putih.

Lopez, yang memegang jawatan pada 1 Januari lepas, telah menyediakan prosedur untuk cuba mencegah keganasan di demonstrasi, yang mengorbankan empat orang sejak ia bermula pada 21 November lalu.

Kira-kira 500 orang telah cedera dan kira-kira 200 ditangkap.

Ramai penunjuk perasaan merasakan bahawa usaha untuk menamatkan konflik bersenjata selama berdekad-dekad dengan puak pemberontak Tentera Revolusi Colombia (FARC) di negara itu telah mengurangkan kemajuan dalam perkara lain dalam masyarakat.

Mereka juga mahu Duque membubarkan polis rusuhan yang digeruni ESMAD, yang dikritik ramai kerana tindakannya yang kasar kepada demonstrasi.

Duque telah tunduk kepada beberapa permintaan lain berhubung pembaharuan cukai, mengumumkan pembayaran balik Cukai Tambah Nilai kepada 20 peratus golongan paling miskin dalam populasi negara dan faedah bagi syarikat yang mengambil orang muda sebagai pekerja.

Presiden mempertahankan apa yang beliau sebut sebagai “perbualan nasional” bersama pelbagai sektor dalam masyarakat untuk cuba mencari jalan keluar dari kemelut itu.

“Kita mahu mendengar semua sektor supaya kita dapat seterusnya membuat saranan, di mana kita dapat menyelesaikan banyak keperluan negara yang telah muncul bertahun-tahun yang lalu,” kata Duque. — AFP

Advertisement