Anda di sini

P2SA, PDA sambut baik rekod Perodua 2019, terus komited kepada syarikat tersebut

Advertisement
(Kiri) MUSA ZAHIDIN TAN SRI AHMAD ZAIDEE dan KHAIRUL NIZAM AYOB
(Kiri) MUSA ZAHIDIN TAN SRI AHMAD ZAIDEE dan KHAIRUL NIZAM AYOB

KUCHING: Persatuan Pembekal Perodua (P2SA) dan Persatuan Pengedar Perodua (PDA) menzahirkan ucapan tahniah kepada Perodua atas pencapaian rekodnya tahun lepas dan mengesahkan lagi komitmen mereka kepada syarikat tersebut.

Perodua pada Selasa telah mengumumkan jualan seba-nyak 240,341 kenderaan pada 2019 sekali gus menguasai hampir 40 peratus daripada jumlah keseluruhan industri (TIV) Malaysia yang dianggarkan sebanyak 604,775 unit.

Angka jualan 2019 Perodua mewakili peningkatan 13,098 unit (+5.8 peratus) berbanding 2018 dan merupakan angka jualan tahunan tertinggi dalam sejarah syarikat tersebut.

Presiden P2SA, Musa Zahidin Tan Sri Ahmad Zaidee mengucapkan syabas dan tahniah kepada Perodua atas jualan yang memberangsangkan.

“Jualan yang memberangsangkan ini menyumbang kepada ekosistem automotif Malaysia secara ketara kerana semua model Perodua mempunyai lebih 90 peratus kandungan tempatan,” katanya menerusi kenyataan media semalam.

Menurut beliau, pada tahun lepas, Perodua telah membelanjakan RM5.4 bilion untuk membeli komponen daripada para pembekal tempatan.

Disebabkan pengeluaran yang dijangka meningkat itu, katanya, tahun ini Perodua menjangkakan perbelanjaan RM6 bilion – lonjakan seba-nyak 11%.

“Kami berterima kasih kepada Perodua atas sokongan dan komitmen mereka selama ini. Kami juga amat komited kepada Perodua dan akan terus meningkatkan kualiti, kos dan penghantaran ahli-ahli kami demi pelanggan yang dihargai demi Perodua dan demi Malaysia sebagai negara progresif,” katanya.

Setakat ini, lebih 2,000 unit Perodua Bezza 2020 yang dilancarkan dua minggu lalu telah menemui pemiliknya daripada 15,000 tempahan yang merangkumi 8,000 tempahan untuk model sebelumnya yang telah ditukar kepada model terkini.

“Bahagian atas badan Bezza dibangunkan sepenuhnya oleh jurutera dan pereka Perodua di Malaysia. Oleh itu, kelarisan Perodua Bezza 2020 adalah berita baik bagi pembekal automotif tempatan. Kami komited untuk memberikan yang terbaik kepada model ini untuk memastikan ia terus berjaya,” ujar Musa.

Sementara itu, Presiden PDA, Khairul Nizam Ayob berkata, rekod jualan Perodua 2019 adalah luar biasa memandangkan ketidaktentuan pasaran serta persaingan yang amat sengit.

Bagaimanapun, katanya, sasaran jualan 2020 sebanyak 240,000 unit tetap mengagumkan.

“PDA akan berusaha untuk mengatasi sasaran itu dan tetap komited kepada Kepuasan Pelanggan dalam semua aspek. Komitmen sejumlah ini menggalakkan dan meyakinkan para pengedar untuk menambah usaha dan melabur demi pelanggan yang dihargai,” ujarnya

Mengulas mengenai pelancaran Perodua Bezza 2020 itu, kata Khairul Nizam, kenderaan itu sedang hangat di pasaran.

“Ia berjaya menarik ramai ke bilik-bilik pameran kami di seluruh negara baru-baru ini. Kami yakin model ini akan terus menepati cita rasa, keperluan dan kehendak semua lapisan masyarakat Malaysia!” katanya.

Advertisement