Anda di sini

MAA ramal TIV 2020 cecah 607,000

Advertisement

KUALA LUMPUR: Persatuan Automotif Malaysia (MAA) meramalkan jumlah keseluruhan industri (TIV) bagi 2020 akan mencecah 607,000 unit, kenaikan 0.5 peratus dari tahun ke tahun berbanding 604,287 yang direkodkan pada 2019.

Presiden MAA Datuk Aishah Ahmad berkata tahun ini, kenderaan penumpang dan perdagangan, masing-masing dijangka merekodkan jualan sebanyak 552,000 dan 55,000 unit.

“Kami menjangkakan 2020 akan terus kekal mencabar. Walaupun terdapat kemajuan dalam perjanjian perdaga-ngan antara Amerika Syarikat (AS) dan China termasuk harapan kepada kebuntuan resolusi Brexit berikutan kemenangan Parti Konservatif pada bulan lepas, ramai penganalisis percaya kebimbangan mengenai perang perdagangan dan risiko geopolitik mungkin akan terus kekal pada 2020.

“Kelemahan ringgit yang berterusan akan terus menjejaskan keyakinan perniagaan, sentimen pengguna serta harga kereta,” katanya dalam satu taklimat media pada kajian pasaran MAA 2019 dan Unjuran 2020 di sini semalam.

Hutang isi rumah yang tinggi dan kenaikan kos sara hidup akan memberi kesan kepada pendapatan boleh guna pengguna, yang seterusnya akan menjejaskan permohonan pinjaman, terutamanya pembeli daripada golongan berpendapatan rendah.

Bagaimanapun, kesinambungan projek infrastruktur dan pembangunan yang tertentu seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Bandar Malaysia akan membantu merangsang pertumbuhan ekonomi tempatan.

“Pemulihan harga komoditi seperti minyak dan minyak mentah kelapa sawit juga akan meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara.

“Sementara itu, pengenalan model-model baharu dengan spesifikasi tambahan terkini serta gaya reka bentuk pada harga yang sangat kompetitif boleh membantu mengekalkan minat membeli,” katanya.

Pada 2019, TIV merekodkan sebanyak 604,287 unit, peningkatan 1.0 peratus dari tahun ke tahun daripada 598,598 unit yang dicatatkan setahun lebih awal.

Jualan kenderaan penumpang menokok 3.0 peratus dari tahun ke tahun kepada 550,179 unit pada 2019 daripada 533,099 unit sebelum ini, manakala jualan kenderaan komersil menurun sebanyak 17.4 peratus dari tahun ke tahun kepada 54,108 unit daripada 65,499 unit sebelumnya.

Aishah mengaitkan kemerosotan dalam jualan kenderaan komersil kepada kelembapan ekonomi, selepas banyak syarikat mengurangkan perbelanjaan modal.

Sementara itu, lori pikap terus menguasai segmen kenderaan perdagangan, merangkumi 64.9 peratus daripada jumlah jualan pada 2019, dengan 35,121 unit telah dihantar.

Menurut MAA, jualan kenderaan hibrid menurun sebanyak 37 peratus dari tahun ke tahun kepada 13,049 unit pada 2019 daripada 20,744 sebelum ini, manakala kenderaan elektrik naik kepada 32 unit berbanding dua unit sebelum ini. — Bernama

Advertisement