Anda di sini

Langkah kawalan, pencegahan wabak polio giat dilaksanakan di Sabah - Dr Noor Hisham 

Advertisement
Dr Noor Hisham - Gambar fail Bernama
Dr Noor Hisham - Gambar fail Bernama

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sabah dan kerajaan negeri sedang melaksanakan tindakan kawalan dan pencegahan wabak polio yang dilakukan melalui tiga fasa.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata tindakan kawalan dan pencegahan wabak berkenaan diambil sejak kes pertama polio dilaporkan di negeri itu.

Beliau berkata sehingga 21 Jan lepas, tiga kes polio disahkan di Sabah dan kesemua pesakit dalam keadaan stabil.  

“Bagi fasa satu, pemeriksaan kontak kes dan kajian najis bagi pengesanan virus polio daripada 20 kanak-kanak sihat, pemberian imunisasi polio menggunakan vaksin polio tidak aktif (IPV) kepada kanak-kanak cicir imunisasi polio di kawasan kes telah selesai dijalankan.

“Kawasan tersebut ialah Tuaran, Kinabatangan dan Sandakan. Tiada kes paralisis dikesan dan semua kanak-kanak sihat dan negatif virus polio,” katanya dalam satu catatan di laman Facebook beliau.

Bagi fasa dua yang sedang dilaksanakan, Dr Noor Hisham berkata imunisasi polio dos 1 diberikan secara titisan ke mulut (OPV) kepada semua kanak-kanak berumur bawah lima tahun di Sabah menerusi Supplementary Immunisation Activity (SIA) di bawah Kempen Imunisasi Polio Sabah (KIPS 2019/2020).

“Sehingga 21 Jan, seramai 34,692 kanak-kanak berumur bawah lima tahun telah diberikan vaksin polio oral (OPV).

“Sebanyak 17 daerah juga mula laksanakan KIPS 2019/2020 antaranya Tuaran, Kota Kinabalu, Lahad Datu, Tenom dan Keningau sehingga semalam dan ia akan diperluas ke daerah lain secara berperingkat,” katanya.

Menurutnya, pengurusan wabak polio di Sabah agak mencabar dan memerlukan kerjasama pelbagai agensi kerana terdapat banyak isu sosioekonomi yang terlibat.

“KKM ingin merakamkan setinggi perhargaan kepada petugas kesihatan, JKN Sabah dan ibu pejabat KKM yang merancang dan menyusun strategi serta melaksanakan aktiviti tindakan kawalan dan pencegahan wabak ini.

“Semoga segala usaha akan membuahkan hasil dan Malaysia kembali memperoleh pengiktirafan sebagai negara bebas polio,” kata Dr Noor Hisham.

Pada 8 Disember lepas, KKM memaklumkan seorang bayi lelaki berumur tiga bulan dari Tuaran, Sabah disahkan dijangkiti penyakit polio, setelah 27 tahun Malaysia bebas daripada virus polio.

Susulan insiden itu, pelbagai langkah berjaga dan advokasi diberikan bagi mengekang penyebaran wabak berkenaan daripada berleluasa. - Bernama 

Advertisement