Anda di sini

Kepelbagaian kaum faktor rumah terbuka terus diamal di Sarawak

Advertisement
 Ting melakukan simbolik merasmikan majlis berkenaan dengan menitik mata singa kumpulan tarian singa SMK Chung Hua Miri sambil disaksikan yang lain.
SIMBOLIK: Ting melakukan simbolik merasmikan majlis berkenaan dengan menitik mata singa kumpulan tarian singa SMK Chung Hua Miri sambil disaksikan yang lain.

MIRI: Kepelbagaian kaum di Sarawak menjadi faktor utama konsep rumah terbuka pada musim perayaan terus diamalkan rakyat di sini.

Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Sebastian Ting berkata, ia telah dipraktikkan rakyat Sarawak dengan mengadakan rumah terbuka bagi berkongsi kemeriahan sambutan perayaan dengan mereka yang tidak meraikan sesuatu perayaan.

“Dengan lebih daripada 27 etnik di Sarawak menjadikan kita di sini amat unik kerana dapat hidup dengan suasana aman damai dan harmoni tanpa mengira kaum, agama serta latar belakang masing-masing.

“Malah, kepelbagaian kaum tidak menjadi masalah untuk kita saling menghormati dengan kepercayaan dan pegangan agama. Ini juga adalah antara faktor utama rakyat kita terus maju ke depan,” jelasnya.

Ting berkata demikian pada majlis menitik mata singa kumpuan tarian singa SMK Chung Hua Miri di pekarangan sekolah terbabit, semalam.

Pada masa sama jelas Ting, beliau turut gembira kerana konsep rumah terbuka ketika musim perayaan di Sarawak dicadang disenaraikan sebagai antara warisan budaya dalam Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) melalui kementeriannya.

“Konsep rumah terbuka pada musim perayaan adalah amalan budaya yang sangat baik di sini.

“Oleh itu, kita harus mempertimbangkan cadangan berkenaan bagi disenaraikan sebagai antara warisan budaya dalam UNESCO,” ujarnya.

Mengulas mengenai majlis berkenaan, Ting berkata acara menitik mata pada singa terbabit menandakan memberi keberkatan kepada kumpulan tarian singa sekolah tersebut.

Katanya, tarian singa merupakan salah satu identiti masyarakat Cina yang harus dipelihara dan keindahan budaya tersebut perlu terus dikongsikan bersama masyarakat lain.

Majlis itu turut diserikan dengan sambutan hari jadi Ting dan meraikan pesaraan guru, Edwin Larkin.

Turut hadir Naib Pengerusi Lembaga Pengarah Sekolah SMK Chung Hua Miri Chai Min Kian, Timbalan Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru SMK Chung Hua Miri Dr Jack Wong dan Pengetua SMK Chung Hua Miri Albert Ong.

Advertisement