Anda di sini

Christopher kekal hakim kes Kerajaan Sarawak saman Petronas

Advertisement
CHRISTOPHER CHIN

KUCHING: Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) untuk menggugurkan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kuching, Christopher Chin daripada mendengar kes terhadap kerajaan Sarawak dan Pengawal Cukai Jualan Negeri (SST).

Christopher dalam memberikan keputusannya berkata, beliau sebagai Pesuruhjaya Kehakiman mempunyai tanggungjawab besar menggalas tugas yang diberi tanpa unsur berat sebelah. 

"Saya telah mengangkat sumpah untuk mempertahankan kedaulatan undang-undang selain berpendapat Badan Kehakiman di Malaysia adalah bebas dan tidak mempunyai unsur berat sebelah," ujar beliau. 

Menteri Muda Undang-undang Datuk Sharifah Hasidah Syed Aman Ghazali bersama penasihat undang-undang negeri Dato Sri JC Fong dan Talat bersama para penyokong di depan Mahkamah Kuching.
Menteri Muda Undang-undang Datuk Sharifah Hasidah Syed Aman Ghazali bersama penasihat undang-undang negeri Dato Sri JC Fong dan Talat bersama para penyokong di depan Mahkamah Kuching.

Menurut beliau juga, sungguhpun permohonan itu merupakan niat baik Petronas untuk kes didengar secara telus, permohonan itu merupakan satu penghinaan kepada Badan Kehakiman di Malaysia dan merupakan perkara remeh selain tiada merit.

Dalam pada itu, beliau turut mengarahkan Petronas untuk membayar kos guaman berjumlah RM50,000. 

Sebelum ini, Peguam Besar Negeri, Datuk Talat Mahmood Abdul Rashid berkata, Petronas menyuarakan kebimbangan mereka mengenai pengesahan Pesuruhjaya Kehakiman itu sebagai hakim Mahkamah Tinggi pada masa akan datang. 

Sementara itu, peguam yang mewakili Petronas, Datuk Malik Imtiaz Sarwar menjelaskan bahawa Petronas mahu kes ini didengar oleh mereka yang sudah ditauliahkan sebagai Hakim Mahkamah Tinggi.

Antara yang hadir pada pagi ini Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Undang-Undang, Hubungan Negeri dan Persekutuan dan Pemantauan Projek) Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, dan Menteri Muda Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Dr Sebastian Ting. 

Kes saman sivil kerajaan Sarawak dan Kontroler SST terhadap Petronas pada hari ini didengar di mahkamah terbuka.

Pada 21 November tahun lalu, kerajaan negeri memfailkan saman terhadap Petronas susulan kegagalannya membayar Cukai Jualan Negeri (SST) bagi produk petroleum di bawah Ordinan Cukai Jualan Negeri 1998. 

Petronas tidak membayar SST dan penalti lebih daripada RM1.3 bilion.
 

  • oleh
  • Advertisement