Anda di sini

Arab Saudi kenakan caj baharu 300 SAR kepada setiap visa haji

Advertisement

SEPANG: Kerajaan Arab Saudi akan mengenakan bayaran 300 Saudi Riyal (SAR) (bersamaan kira-kira RM326) ke atas setiap jemaah bagi setiap visa yang dikeluarkan mulai musim Haji 1441H/2020M, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Mujahid berkata kerajaan Arab Saudi menetapkan caj berkenaan, yang merupakan perkara baharu diperkenalkannya, kepada jemaah haji seluruh dunia termasuk Malaysia.

“Ini (visa) benda baharu diperkenalkan oleh Arab Saudi dan (Malaysia) tiada pilihan melainkan untuk menerima keputusan yang dibuat oleh negara itu.

“Di samping itu, Arab Saudi memansuhkan bayaran 2,000 Saudi Riyal (kira-kira RM2,171) yang dikenakan bagi jemaah haji berulang iaitu mengerjakan ibadah haji lebih daripada sekali,“ katanya kepada pada sidang media khas sejurus tiba di tanah air selepas lawatan tiga hari ke Arab Saudi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, di sini semalam.

Mujahid berkata perkara itu dimaklumkan kepadanya semasa mengadakan pertemuan dan perbincangan bersama Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi Mohammad Saleh bin Taher Benten berhubung isu-isu berkenaan hal ehwal pengurusan dan persiapan jemaah haji dari Malaysia bagi musim haji 1441H.

Pada pertemuan itu, kedua-dua pihak telah menandatangani satu perjanjian bagi mengatur ketibaan jemaah dari Malaysia dan menguruskan perkhidmatan yang bakal disediakan untuk mereka sepanjang berada di Tanah Suci.

Mengulas lanjut, Mujahid berkata perjanjian itu menyebut akan mengekalkan inisiatif ‘Road to Makkah’ iaitu fasiliti prapelepasan di KLIA bagi memudahkan semua urusan para jemaah haji untuk menunaikan rukun Islam kelima itu pada musim haji 1441H.

“Antara sebab kenapa perkhidmatan ini dikekalkan kerana bagi pihak kita, khususnya TH serta agensi-agensi berkaitan seperti Jabatan Imigresen Malaysia dan keselamatan kita telah memberikan kemudahan yang sama taraf dengan sistem yang ada di Arab Saudi,” katanya. — Bernama

Advertisement