Anda di sini

APMM dan JCG adakan bengkel tangani insiden tumpahan minyak

Advertisement
 Nurul Hizam (dua kanan) bersalaman dengan Suzuki Shiro (kiri) ketika menyambut ketibaan Kapal Echigo PLH 08 milik Japan Coast Guard (JCG) yang berlabuh di Pusat Hidrografi Nasional Pelabuhan Klang, Pelabuhan Klang semalam. — Gambar Bernama
ERAT JALINAN: Nurul Hizam (dua kanan) bersalaman dengan Suzuki Shiro (kiri) ketika menyambut ketibaan Kapal Echigo PLH 08 milik Japan Coast Guard (JCG) yang berlabuh di Pusat Hidrografi Nasional Pelabuhan Klang, Pelabuhan Klang semalam. — Gambar Bernama

PELABUHAN KLANG: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Pengawal Pantai Jepun (JCG) semalam menjalin kerjasama dalam menangani insiden tumpahan minyak di laut menerusi Bengkel Tumpahan Minyak.

Bengkel selama lima hari sehingga Sabtu ini diadakan di Pusat Hidrografi Nasional (PHN) di sini melibatkan 100 pegawai dan anggota pelbagai pangkat daripada kedua-dua agensi berkenaan selain Polis Diraja Malaysia, Jabatan Alam Sekitar dan Agensi Pengurusan Bencana Negara.

Timbalan Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim, Laksamana Pertama Maritim, Nurul Hizam Zakaria berkata bengkel tersebut dianjurkan dengan objektif untuk memastikan tahap kesiapsiagaan APMM terutamanya dalam menangani insiden tumpahan minyak berada pada tahap paling baik.

“Program bersama JCG ini dilihat dapat meningkatkan keupayaan anggota serta mengoptimumkan penggunaan peralatan dalam mengendalikan insiden tumpahan minyak di perairan negara.

“Latihan seperti ini juga dapat menguji kemampuan sebenar APMM dalam memberi bantuan awal ketika berlaku tumpahan minyak dan memberi latihan dalam mengumpul dan mencari bukti forensik untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada pemberita selepas menyambut ketibaan kapal JCG, Echigo PLH 08 di PHN di sini semalam.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Keselamatan dan Carilamat JCG, Laksamana Madya Suzuki Shiro.

Mengikut statistik yang dikeluarkan APMM, sebanyak 36 kes tumpahan minyak direkodkan di perairan negara sepanjang tahun lepas dengan 20 kes berlaku di Laut Cina Selatan, tiga kes di Laut Sulu, 10 kes di Selat Melaka dan tiga kes di Selat Johor. — Bernama

Advertisement