Anda di sini

Lim nafi harga kenderaan naik

Advertisement

KUALA LUMPUR: Menteri Kewangan Lim Guan Eng semalam menafikan harga kereta akan meningkat memandangkan kerajaan belum mencapai sebarang persetujuan berkaitan penstrukturan semula duti eksais.

Beliau berkata perubahan itu sekiranya ada tidak akan memberi kesan ke atas kadar duti eksais semasa.

“Sekiranya ada sebarang perubahan, ia mesti dilaksanakan secara berperingkat dan bukannya tiba-tiba. Kita sedang berbincang mengenai perkara itu bagi memastikan ketelusan (dari segi pelaporan) supaya kita boleh terus memenuhi obligasi kita terhadap Pertubuhan Perdagangan Dunia,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.”

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Belanjawan 2020: Skim Jaminan Kerajaan untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana oleh Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bhd (SJPP) di sini.

Lim berharap semua pihak menunggu pengumuman rasmi daripada kerajaan dan tidak terpengaruh dengan sebarang spekulasi di dalam pasaran.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan mengenai potensi kenaikan harga bagi kenderaan yang dipasang di peringkat tempatan susulan kemungkinan penstrukturan semula duti automotif.

Menurut laporan berkenaan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Kementerian Kewangan sedang berbincang untuk menentukan kadar semakan bagi dasar duti eksais melibatkan kenderaan yang menjalani pemasangan tempatan. — Bernama

Advertisement