Anda di sini

`Galas amanah yang diberikan rakyat'

Advertisement
 Sebahagian ketua-ketua bahagian yang hadir menyatakan sokongan kepada calon ketika diumumkan mewakili BN dalam PRK Kimanis.
SOKONG: Sebahagian ketua-ketua bahagian yang hadir menyatakan sokongan kepada calon ketika diumumkan mewakili BN dalam PRK Kimanis.

 Harapan Bung kepada Mohamad selepas memenangi PRK Kimanis

KEMENANGAN calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil (PRK) Kimanis Datuk Mohamad Alamin yang mengumpul 12,706 undi mengetepikan calon Parti Warisan Sabah (WARISAN) Datuk Karim Bujang yang memperolehi 10,677 undi dengan majoriti 2,029 undi, merupakan satu kemenangan berharga bagi Ketua UMNO Sabah yang juga Pengarah Gerakan BN PRK Kimanis, Datuk Sri Bung Moktar Radin.

Kejayaan ini sudah tentu sesuatu amat bermakna bagi beliau setelah dipilih sebagai Ketua UMNO Sabah pada 12 Disember 2018. Bung diuji dengan pelbagai dugaan dan cabaran, termasuk meyakinkan semula ahli UMNO yang masih setia dengan parti itu.

PRK Kimanis adalah ujian pertama bagi mereka sama ada BN/UMNO masih boleh diterima rakyat Sabah atau sebaliknya. Segalanya terjawab apabila calon BN yang juga Ketua UMNO Bahagian Kimanis Datuk Mohamad Alamin menang bergaya pada PRK baru-baru ini.

Ikuti temu bual media bersama Bung di kediamannya di Luyang, Kota Kinabalu, selepas mengadakan kenduri kesyukuran bersama jentera atas kemenangan BN di Kimanis.


SOALAN: Kejayaan calon BN di PRK Kimanis, apa pandangan Datuk?

BUNG: Pertamanya syukur Alhamdulliah atas kejayaan ini. Tahniah kepada Datuk Mohamad Alamin yang dipilih oleh rakyat sebagai Ahli Parlimen Kimanis. Keduanya, sudah tentu saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada penyokong BN di Kimanis, semua jentera BN rakan-rakan dari blok pembangkang yang turut membantu, presiden, timbalan, naib-naib presiden, ahli-ahli Majlis Tertinggi UMNO, rakan-rakan dari PAS, MCA, ketua-ketua UMNO bahagian di Sabah, bapa-bapa angkat AMT UMNO, bahagian UMNO angkat serta rakan-rakan dari Semenanjung yang bertungkus lumus berkempan, menemui pengundi-pengundi di seluruh pelusuk kampung di Kimanis. Tidak lupa ucapan terima kasih khusus untuk bekas Ahli Parlimen Kimanis Datuk Seri Panglima Anifah Aman yang bukan sahaja turun padang tapi sanggup berkampung di Kimanis semata-mata untuk membantu calon BN bagi memastikan kejayaan BN pada PRK Kimanis kali ini.

Hampir dua bulan kami berkampung di Kimanis dan sebagaimana saya nyatakan bukanlah mudah berhadapan dengan parti pemerintah yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan, namun dengan semangat juang yang tinggi dan konsep kerja berpasukan serta kesungguhan jentera BN tanpa mengenal penat dan lelah akhirnya perjuangan ini menemukan titik kejayaan yang manis bagi BN dan UMNO khususnya di Sabah apabila berjaya melalui ujian pertama ini.

Kejayaan ini juga adalah kejayaan pertama setelah UMNO Sabah diberikan kuasa autonomi terutamanya dalam soal pemilihan calon yang diputuskan sendiri oleh UMNO Sabah. Kita bersyukur dapat meletakkan calon anak jati Kimanis yang boleh diterima rakyat di semua peringkat dan ini memudahkan lagi gerak kerja kami berkempen semasa PRK kali ini.

SOALAN: Apakah isu dibawa BN pada PRK kali ini?

BUNG: Semua orang tahu isu yang kami bawa adalah isu yang relevan dan dekat di hati rakyat. Pertamanya janji manifesto kerajaan PH/WARISAN semasa PRU ke-14. Kos sara hidup semakin meningkat, bantuan kepada rakyat yang memerlukan, pembangunan dan yang paling berkesan adalah isu pelaksanaan Pas Sementara Sabah (PSS) yang secara total ditolak oleh rakyat Sabah.

Mesej kepada kerajaan WARISAN telahpun disampaikan oleh pengundi-pengundi bijak di Kimanis melalui PRK kali ini dan menjadi harapan rakyat di negeri ini agar PSS bukan sahaja dikaji tapi dibatalkan.

SOALAN: Pada PRK kali ini pengundi muda terutamanya di saluran 3 dan seterusnya memihak kepada BN, pendapat Dato?

BUNG: Kami tidak menafikan pengundi muda merupakan penyumbang utama kepada kemenangan BN pada PRK Kali ini. Timbul kesedaran di kalangan mereka tentang masa depan mereka. Apa yang dijanjikan kepada golongan gagal dilaksanakan seperti penghapusan PTPTN, peluang pekerjaan berjuta yang dijanjikan dan isu PSS yang mereka lihat akan menjejaskan masa depan mereka.

Justeru timbul kesedaran baharu untuk mereka bangkit memperjuangkan hak-hak mereka sebagai pemimpin pelapis masa depan. Selain itu pendekatan kita semasa berkempan mendekati pengundi muda. Saya mengucapkan tahniah kepada Pemuda yang diketuai oleh Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Pemuda UMNO Sabah IR Abdul Aziz Julkarnain bersama ahli jawatankuasa Pemuda negeri bahagian dan cawangan dengan gerak kerja serta pendekatan mereka kepada pengundi muda melalui pelbagai program diadakan mendekati golongan muda sepanjang tempoh berkempan selain penjelasan yang berfakta tentang isu isu semasa.

Perkara ini saya berharap akan terus dilaksanakan bukan sahaja semasa PRK atau PRU tapi mereka harus kemabali ke arah umbi mendekati golongan ini. Pendekatan BN lebih mesra rakyat.

SOALAN: Dari segi strategi kempen apakah keadah berkesan dilakukan BN untuk memenangi PRK kali ini?

BUNG: BN/UMNO Sabah sebaik sahaja kita dimaklumkan PRK akan berlaku kita telah memulakan gerak kerja berkampung di Kimanis menyusun PDM, menyelaras program. Bergerak dari rumah ke rumah mendekati pengundi dan rakyat menjelaskan isu yang sebenarnya yang perlu diketahui oleh rakyat. Saya menasihatkan kepada jentera BN agar tidak melakukan sebarang provokasi melampau, mendekati rakyat secara berhemah, menghormati budaya serta adat resam masyarakat setempat.

SOALAN: Harapan Datuk selepas PRK Kimanis khususnya kepada pemimpin dan ahli UMNO di Sabah.

BUNG: Saya melihat PRK Kimanis adalah titik mula perjuangan UMNO Sabah untuk bangkit berjuang dan terus berjuang. Semua ini perlu dilakukan bermula dari sekarang kerana tempoh berbaki tiga tahun sebelum PRU-15 bukanlah satu jangka masa panjang. Semangat serta momentum yang ada bukan sahaja perlu dikekalkan tapi perlu dipertingkatkan. Pemimpin UMNO semua peringkat perlu bekerja keras dari sekarang jangan fikirkan soal jawatan, tapi utamakan bagaimana BN/UMNO kembali diyakini oleh rakyat sebagai sebuah parti yang memperjuangkan rakyat.

Gerak kerja serta pendekatan yang teratur perlu disusun dan dilaksanakan dari sekarang. Mereka perlu menjadi pemimpin yang cakna kepada masalah dan kebajikan rakyat sekalipun BN /UMNO sekarang ini masih pembangkang tapi mereka perlu ambil tahu masalah rakyat. Majlis kenduri kendara, kematian, musibah dan sebagainya yang dihadapi oleh rakyat di kawasan masing masing, mereka perlu hadir bersama mengakrabi rakyat setiap masa. Walaupun kita masih pembangkang tidak dapat menyediakan peruntukan untuk pembangunan tapi suarakan masalah rakyat kepada kerajaan melalui saluran yang betul agar kerajaan mengambil tindakan.

Kepada Ahli Parlimen Kimanis Datuk Mohamad Alamin, saya mengingatkan galaslah amanah serta tanggungjawab yang diberikan seramai 12,706 pengundi dan rakyat Kimanis keseluruhannya dalam menyuarakan kehendak dan keperluan mereka di Parlimen. InsyaAllah, apabila kita memberi perkhidmatan terbaik serta cakna kepada masalah dan keperluan rakyat di kawasan, sokongan mereka akan berterusan.

  • oleh
  • Advertisement