Anda di sini

Malaysia terajui pelaksanaan 5G di rantau Asia Tenggara

Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia bakal melakar nama di arena global serta setanding dengan negara-negara maju susulan pelaksanaan Projek Demonstrasi 5G (5GDP) yang diterajui oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Malah, kemajuan dalam melaksanakan teknologi mudah alih generasi kelima (5G) itu turut mentakrifkan kesediaan ekonomi digital Malaysia, terutama industri serta perusahaan kecil dan sederhana dalam menghadapi Revolusi Perindustrian Keempat.

Dalam satu kenyataan semalam, SKMM berkata menerusi 5GDP, Malaysia telah meletakkan asas untuk menerajui pelaksanaan teknologi 5G di rantau Asia Tenggara.

“Menurut kajian terbaharu Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), pelaksanaan 5G tersebut  dapat menyumbang kira-kira RM12.7 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta mampu mewujudkan sebanyak 40,000 peluang pekerjaan baharu dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Satu ekosistem 5G yang komprehensif kini dilaksanakan dengan pelbagai pendekatan baharu merangkumi rangkaian dan perkongsian infrastruktur antara penyedia-penyedia perkhidmatan, semakan semula dasar, usaha sama dan sebagainya,” katanya.

Menurut SKMM, teknologi itu akan turut memacu kemunculan banyak perkhidmatan inovatif daripada realiti maya serba canggih, kenderaan berautonomi sehinggalah kepada pembedahan perubatan secara jarak jauh.

“5G akan turut menawarkan komunikasi berlatensi rendah yang boleh dipercayai menerusi kecekapan tenaga yang lebih baik serta meningkatkan privasi dan keselamatan,” katanya.

Sehubungan itu, Projek Demonstrasi 5G di Langkawi adalah penting kerana meliputi 35 kes-kes kegunaan melibatkan enam vertikal di 25 lokasi langsung 5G yang beroperasi secara aktif mulai Oktober 2019 sehingga Mac 2020 yang membabitkan jumlah pelaburan sebanyak RM101 juta.

Ini merupakan separuh daripada jumlah 72 kes-kes kegunaan di enam negeri iaitu Kedah, Penang, Perak, Selangor, Terengganu dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, kata SKMM.

Antara kes-kes kegunaan dipaparkan di Langkawi ialah Pertanian Pintar, Lapangan Terbang Pintar, Bandar Pintar, Penyelesaian Lampu Trafik Pintar, Pindahan Data Perubatan Dalam Masa Nyata, Pemantauan Video 5G Secara Langsung, Konsultasi Jarak Jauh dan Pelancongan Maya.

Malah, terdapat tiga kes-kes kegunaan di Pelabuhan Langkawi iaitu Kawalan Sempadan Digital, Penjejakan Pintar Untuk Kapal serta ‘Geo-fencing’ (Pagaran) dan Perimeter Pintar yang juga antara tarikan utama Projek Demonstrasi 5G di pulau tersebut.

Sebelum melancarkan 5GDP pada Ahad, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah melawat dua lokasi langsung projek tersebut iaitu di Pejabat Daerah dan Tanah Langkawi dan Ibu Pejabat Polis Langkawi di Kuah yang memaparkan demonstrasi kes kegunaan seperti Pusat Kawalan 5G (5GCC), e-Kelas, penyelesaian pertanian pintar serta sekuriti dan keselamatan bandar pintar.

“Dr Mahathir juga telah melawat Hospital Sultanah Maliha bagi meninjau perkembangan kes-kes kegunaan penjagaan kesihatan digital iaitu pindahan data perubatan dalam masa nyata dan kemudahan ambulans yang saling terhubung.

“Ini diikuti oleh Majlis Perasmian Projek Demonstrasi 5G di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi yang merupakan satu pencapaian utama kepada Malaysia dalam usaha memacu agenda ekonomi digital.”

Menurut SKMM, bersempena dengan pelancaran itu, SKMM juga buat julung kalinya menganjurkan Persidangan Antarabangsa 5G Malaysia pada 20-21 Januari di Langkawi yang membariskan panelis dan penceramah tersohor industri itu yang membincangkan pembangunan serta prospek pelaksanaan 5G di Malaysia dan global.

Pada persidangan itu, Pengerusi SKMM Al-Ishsal Ishak akan menyerahkan Laporan Akhir Pasukan Petugas Khas 5G mengenai pelaksanaan teknologi berkenaan di Malaysia kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

Laporan itu antara lainnya menggariskan prasyarat bagi pelaksanaan 5G seperti keperluan infrastruktur, penyelesaian pengurusan spektrum dan hal ehwal pengawalseliaan meliputi kerjasama dengan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan selain menangani kebimbangan membabitkan isu sekuriti, keselamatan dan kesihatan. — Bernama

Advertisement