KUCHING: Kerajaan negeri akan mencari formula bagi membantu rakyat miskin di negeri ini yang masih bergantung sepenuhnya kepada pengangkutan awam khasnya bas.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata bantuan sewajarnya perlu diberikan kepada golongan berkenaan yang cukup terbeban dengan kos tambang mahal.
Menurutnya, idea untuk memperkenalkan formula itu timbul selepas mengetahui ada penumpang di Miri perlu membelanjakan lebih RM60 sehari untuk perjalanan dari Tudan ke pusat bandar Miri.
"Saya hendak mencari formula bagaimana hendak membantu rakyat miskin di negeri yang menggunakan pengangkutan awam.
"Nanti saya umumkan... Mudah-mudahan kita akan ada pendapatan kerana kita telah mula merekayasa semula hasil negeri," katanya ketika berucap merasmikan Hari Integriti Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) di sini hari ini.
Dalam pada itu Abang Johari berkata Kementerian Pengangkutan akan bekerjasama dengan SEDC untuk membangunkan sistem Pengangkutan awam di negeri ini.
SEDC katanya telah diberi amanah begitu tinggi untuk membangun dan menambaik kualiti sistem pengangkutan awam demi kelesaan rakyat dan mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di bandar-bandar utama di Sarawak.
"SEDC diberi kepercayaan menjaga dan membangunkan sistem pengangkutan awam Sarawak, bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan, kita hendak membangunkan Autonomous Rapid Transit (ART).
"Dengan itu sistem pengangkutan awam kita akan lebih sistematik dan rakyat biasa tidak perlu menunggu terlalu lama untuk menggunakan bas atau mana-mana pengangkutan awam lain," ujarnya.
Abang Johari juga memberitahu dalam perjalanannya pulang dari Sri Aman ke Kuching pada Isnin, beliau melihat kesesakan lalu lintas di Kota Samarahan dan merasakan masalah itu perlu ditangani secara menyeluruh.
"Saya juga telah meminta Menteri Pengangkutan Datuk Lee Kim Shin cuba menggunakan perkhidmatan bas awam di Kuching, beliau terpaksa menunggu dua jam untuk bas sampai.
" Oleh sebab itu saya mahu menambah baik sistem pengangkutan awam kita agar ia lebih sistematik pada masa sama memperkenalkab formula yang akan membantu rakyat," ujarnya.
Hadir sama Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti Dan Ombudsman) Datuk Talib Zulpilip, Menteri Pelancongan, Kesenian Dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dan Pengerusi SEDC Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Husain.