Anda di sini

Tujuh individu dicekup terlibat penyalahgunaan dadah

Advertisement
 Skuad Gagah Sibuti menggunakan seragam lengkap menjalankan operasi membanteras gejala dadah. Turut kelihatan Ahli Parlimen Sibuti Lukanisman Awang Sauni (lima kiri) di Bekenu.
BANTERAS: Skuad Gagah Sibuti menggunakan seragam lengkap menjalankan operasi membanteras gejala dadah. Turut kelihatan Ahli Parlimen Sibuti Lukanisman Awang Sauni (lima kiri) di Bekenu.

MIRI: Tujuh individu berjaya dicekup di Kampung Kelulit dan Kampung Bungai di Sibuti dekat sini malam kelmarin setelah disyaki terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah.

Tangkapan terbabit berjaya dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri bersama Skuad Gagah Sibuti.  

Pemanca Ali Mudin mengetuai Skuad Gagah Sibuti berkata daripada tujuh suspek terbabit, lima daripadanya didapati positif dadah jenis syabu.

“Ia satu operasi berjaya dilakukan oleh polis dibantu dengan skuad kami di beberapa lokasi dikenal pasti.

“Lima suspek didapati positif dadah itu kemudiannya dibawa ke balai polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya di sini semalam.

Ali berkata, Skuad Gagah Sibuti sentiasa melakukan operasi bagi menangkap suspek terlibat dadah dan memastikan Bekenu selamat daripada gejala dadah yang menjadi penyebab utama kepada kes pecah rumah dan curi.

“Penagih-penagih ini jika tidak mempunyai wang, mereka meminta dengan ibu bapa dan ahli keluarga dan duit itu digunakan untuk membeli dadah.

“Sekiranya ibu bapa mereka tidak menghiraukan permintaan anak-anak mereka maka penagih terbabit cuba mencuri dan terlibat dengan pecah rumah, mencari duit bagi membeli dadah,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan ibu bapa sentiasa memantau aktiviti anak-anak masing-masing agar mereka tidak terlibat dengan gejala tidak sihat.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu Rosey Yunus menaja baju seragam Skuad Gagah Sibuti bagi memastikan kekuatan skuad itu tetap tinggi bagi mencari maklumat mengenai aktiviti penyalahgunaan dadah di Bekenu.

Advertisement