Anda di sini

Tingkat kawalan sempadan

Advertisement
 Ramli diperkenalkan kepada pegawai polis yang menyertai perbarisan sambil diiringi DSP Jo.
LAWATAN MESRA: Ramli diperkenalkan kepada pegawai polis yang menyertai perbarisan sambil diiringi DSP Jo.

MARUDI: Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Ramli Din menyeru pasukan polis bersiap sedia serta melengkapkan diri mereka dengan keupayaan mengawal keselamatan di sempadan, khususnya isu penyeludupan yang dijangka bertambah pada tahun-tahun akan datang.

Katanya, pengumuman oleh (presiden) Indonesia untuk memindahkan ibu kota negara itu dari Jakarta ke Kalimantan, pastinya akan membawa kedua-dua kesan, baik dan buruk.

“Kesan baiknya dari segi ekonomi, kerana ia pastinya akan merancakkan ekonomi negara tetapi (kesan buruknya) pada masa yang sama kes penyeludupan dijangka semakin meningkat di samping masalah sosial.

“Penyeludupan seperti senjata api, barangan seperti rokok dan sebagainya juga dijangka bertambah kerana negeri kita bersempadan dengan negara Indonesia dan Brunei sepanjang 2,000 kilometer dan ini juga bermasalah dari segi keselamatan,” katanya.

Sehubungan itu beliau mahu anggota polis mempersiapkan diri mereka bagi menghadapi cabaran berkaitan.

Ramli memberitahu demikian semasa berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Ketua Masyarakat, Ketua Kaum dan Ketua Jabatan Kerajaan serta Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marudi sempena lawatan rasmi beliau ke pekan kecil ini minggu lalu.

Ramli melahirkan rasa gembira kerana melalui dialog dan majlis pertemuan seperti itu, polis mendapat maklumat dan mendengar masalah yang membelenggu masyarakat di kawasan luar bandar terus dari mulut para pemimpin masyarakat di peringkat akar umbi.  

Melalui isu-isu yang dibangkitkan beliau berkata, pasukannya dapat merangka strategi bagi menanganinya terutama isu perjudian, sabung ayam dan dadah dalam kalangan anak-anak muda, yang secara langsung turut menyumbang kepada masalah sosial di kawasan setempat.

“IPD Marudi perlu melaksana pendekatan untuk bertugas dan salah satunya ialah dasar kepolisan daerah ini.

“Apa jua operasi yang dilakukan, sudah tentu kakitangan polis di daerah ini memang tidak cukup.

"Dasar kepolisan di Sarawak memang jauh berbeza daripada negeri lain di Malaysia kerana Sarawak adalah negeri paling besar di Malaysia,” katanya sambil menambah, penglibatan bersama masyarakat dari pelbagai peringkat amat penting.

Justeru jelasnya, program ‘Hari Bersama Pelanggan’ yang dilancarkan pasukan polis Sarawak adalah salah satu cara bekerjasama erat dengan masyarakat, seiring dengan slogan 'Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada'.

Melalui program seumpama itu juga katanya, pelbagai jenayah berjaya ditangani bersama terutama dalam membanteras gejala dadah.

“Sentiasa pantau aktiviti dan pergerakan anak-anak dan bekerjasamalah dengan pihak polis, agar kita sama-sama dapat menghindari anak-anak kita daripada terjebak dan menjadi penagih dadah, yang boleh mendorong mereka melakukan sahaja termasuk membunuh ahli keluarga jika terdesak tidak diberi duit untuk membeli dadah,” katanya.

Dalam pada itu, ketibaan Ramli bersama beberapa pegawai kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di IPD Marudi disambut Ketua Polis Daerah Marudi DSP Jo Hang serta pegawainya, ketua jabatan dan ketua masyarakat setempat.

  • oleh
  • Advertisement