Anda di sini

Telur ayam dari Sarawak dijangka dalam pasaran Singapura tidak lama lagi

Advertisement
Uggah bersama Chew (barisan hadapan, kanan), Dr. Adrian dan Richard menunjukkan telur yang diperkaya dengan selenium
Uggah bersama Chew (barisan hadapan, kanan), Dr. Adrian dan Richard menunjukkan telur yang diperkaya dengan selenium.

KUCHING: Sarawak menjangka akan mengeksport telur ayam ke Singapura tidak lama lagi.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata Agensi Makanan Singapura telah memeriksa beberapa ladang ternakan di sini termasuk di kawasan Samarahan tahun lepas.

 "Kita sebenarnya sedang menunggu kelulusan terakhir itu. Penggiat industri kita menggunakan sistem pengeluaran teknologi tinggi moden untuk meningkatkan produktiviti dan kecekapan.

“Kita bebas daripada selsema burung dan oleh itu, terdapat permintaan yang tinggi untuk telur kita di luar negara. Ini adalah kelebihan daya saing kita terhadap pesaing di rantau ini," katanya selepas melawat Lian Hua Seng Livestock Sdn Bhd, Batu 17 Jalan Kuching-Serian di sini, pada Ahad.

Syarikat itu yang menggunakan teknologi penggredan canggih bagi memastikan telur yang dihasilkan secara tepat digredkan dan dibasmi kuman (rawatan pensterilan UV), merupakan salah satu pembekal telur utama di negeri ini.

Syarikat itu menghasilkan 180,000 biji telur setiap hari dan ia dijangka meningkat kepada 450,000 biji telur dengan pelan pengembangannya serta mempunyai pensijilan Amalan Perkilangan Baik (GMP), Analisis Bahaya dan Kawalan Titik Kritikal (HACCP) dan Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia yang disahkan

Bagi pasaran Singapura, syarikat itu merancang untuk mengeksport telur premium yang diperkaya dengan selenium.

Sementara itu, Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah berkata, Sarawak mempunyai bekalan telur ayam yang mencukupi.

 "Kita mempunyai 45 ladang ternakan di seluruh negeri sejak tahun lalu dengan gabungan populasi ladang berjumlah 3.3 juta ekor ayam dan dianggarkan telah menghasilkan 850 juta biji telur.

 "Jumlah telur yang dieksport tahun lepas ialah 48 juta bernilai RM13.5 juta. Daripada jumlah ini, 20.34 juta telur dieksport ke Hongkong dan 27.72 juta ke Indonesia," katanya.

Dalam pada itu, Uggah berkata, negeri ini mempunyai banyak potensi untuk pergi lebih jauh.

“Kita telah melihat sejak lima tahun kebelakangan ini peningkatan trend terhadap pengeksport dalam kalangan pemain tempatan. Jadi saya harap industri akan berkembang dan menerima pakai teknologi moden untuk meningkatkan pengeluaran dan daya saing kita.

“Untuk rekod, Sarawak tahun lalu turut mengeksport 257.5 metrik tan ayam dan itik pedaging ke Indonesia bernilai RM1.86 juta,” katanya.

Hadir sama pada sesi lawatan itu ialah Pengarah Urusan Lian Hua Seng Livestock, Datuk Chew Chiaw Han; Pengarah  Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri,  Dr. Adrian Susin dan Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Dr. Richard Rapu.

Advertisement