Anda di sini

STB perkenal `Enchanting Sabah'

Advertisement
 Christina (empat kiri) bersama para tetamu kehormat dan para editor agensi media di Sabah merakamkan gambar kenangan. Turut kelihatan Ketua Pengarang Utusan Borneo Lichong Angkui (kanan).
KENANGAN: Christina (empat kiri) bersama para tetamu kehormat dan para editor agensi media di Sabah merakamkan gambar kenangan. Turut kelihatan Ketua Pengarang Utusan Borneo Lichong Angkui (kanan).

KOTA KINABALU: `Enchanting Sabah' adalah jenama terbaharu digunakan sektor pelancongan negeri ini dalam usaha menarik lebih ramai pelancong asing.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew berkata, jenama atau logo baharu itu diilhamkan oleh Lembaga Pelancongan Sabah (STB) dalam usaha mempromosi destinasi pelancongan negeri ini kepada dunia sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.

"STB telah melakukan kerja yang baik sejak 1970 dalam usaha memperkenalkan Sabah sebagai destinasi pelancongan ke mata antarabangsa.

"STB juga menjadi salah satu organisasi pelancongan kebangsaan pertama yang mempromosikan destinasi pelancongan dalam negeri ini," katanya ketika menyampaikan ucapan pada majlis pelancaran Logo Baharu `Enchanting Sabah' dan majlis Makan Tengah Hari Bersama Pengamal Media sempena Tahun Baharu Cina 2020, di sini semalam.

Dalam pada itu, Christina yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar berkata, para pengamal media di Sabah adalah rakan kepada kerajaan kerana peranan yang dimainkan mereka sangat penting.

"Media boleh dikatakan sebagai 'jambatan' menghubungkan kerajaan dan rakyat. Anda semua memainkan peranan penting menghubungkan kerajaan dengan rakyat.

"Para pengamal media juga dinasihatkan agar sentiasa bertanggungjawab dalam menyampaikan laporan berita yang benar dan tepat," katanya.

Menurutnya, laporan berita berdasarkan fakta adalah penting, laporan yang seimbang juga perlu diutamakan pada ketika ini.

Katanya, walaupun banyak syarikat atau agensi media kini sudah berubah arah ke dunia digital, tetapi beliau percaya media konvensional masih mampu bertahan dalam industrinya.

Ketika ditemui, Christina menjelaskan Sabah akan mula penerimaa penerbangan sewa khas dari China bermula hari ini.

Katanya, untuk tempoh tiga bulan seterusnya, Sabah akan menerima penerbangan terbabit sebanyak tiga kali seminggu.

"Dalam masa terdekat ini juga kita akan menerima kedatangan pelancong menerusi kapal persiaran dari Hong Kong.

"Kapal itu berkapasiti 1,000 penumpang akan berlabuh di Perlabuhan Sabah. Bermula Mac depan mereka akan meletakkan kapal mereka di sini secara tetap.

"Beberapa syarikat lain lagi akan membawa pelancong menggunakan kapal persiaran bersaiz sederhana dan kecil," katanya.



 

  • oleh
  • Advertisement