Anda di sini

Sarawak rekod 4.66 juta pelancong pada 2019, peningkatan 5.2 peratus berbanding 2018

Advertisement
 Abdul Karim merakamkan kenangan bersama penerima anugerah khidmat setia.
Abdul Karim merakamkan kenangan bersama penerima anugerah khidmat setia.

KUCHING: Sarawak mencatatkan peningkatan kedatangan pelancong sebanyak 5.22 peratus pada 2019 jika dibandingkan tahun sebelumnya. 

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, jumlah peratusan itu melebihi jangkaan kadar pertumbuhan kehadiran pelancong yang ditetapkan Pertubuhan Pelancongan Dunia Negara-Negara Bersatu (UNWTO) iaitu 4 peratus pada 2019.

Dedahnya, jumlah kedatangan pelancong di Sarawak menunjukkan peningkatan pada tahun lalu iaitu 4.662 juta jika dibandingkan 4.430 juta pada 2018.

"Oleh itu, kita harus meneruskan usaha untuk mencapai sasaran yang kita tetapkan. Saya yakin dengan hala tuju kempen pelancongan serta pelaburan besar kita dalam industri ini dan kita boleh menjangkakan kematangan pasaran dan angka-angka ini akan berkembang untuk memberi kita hasil yang sihat yang telah kita jangkakan setakat ini," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam penghargaan kakitangan Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) di Pusat Konvokesyen Borneo Kuching (BCCK) malam Ahad. 

Dalam pada itu, Abdul Karim berkata, Sarawak sedang bergerak maju ke hadapan dalam menjadikan industri pelancong ini sebagai antara penyumbang utama pertumbuhan ekonomi di negeri ini. 

Tambahnya, ia selari dengan hasrat Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang mempunyai visi dalam menjadikan industri pelancong sebagai salah satu daripada empat tunjang utama kepada ekonomi Sarawak. 

"Apa yang penting kita harus tingkatkan standard industri pelancongan kita termasuk hospitaliti di sini," tegasnya. 
 
Mengulas lanjut pencapaian industri pelancongan, jelas beliau, sehingga kini, ia merupa penyumbang ketiga ekonomi Sarawak yang mana pada tahun lepas 'Tourism Satellite Accounting'  menganggarkan sebanyak RM11 bilion hasil berjaya dikutip. 

"Jumlah penjanaan pekerjaan oleh industri ini pula adalah 19.06 peratus bersamaan 243,000 peluang pekerjaan dalam bidang berkaitan," katanya lagi. 
 
Sehubungan itu, beliau berharap Persekutuan Pelancongan Sarawak (STF) dan badan-badan di bawahnya bekerjasama dengan kementerian dan STB dapat diteruskan bagi mencapai lebih banyak kejayaan dalam memajukan industri pelancongan di negeri ini. 

  • oleh
  • Advertisement