Anda di sini

RM100,000 disumbangkan kepada Majlis Gereja-Gereja Kota Belud DUN Kadamaian

Advertisement
 Shafie menyampaikan replika cek RM100,000 kepada Johnny Gilong wakil Majlis Gereja- Gereja Kota Belud (Kadamaian), disaksikan oleh Ewon dan para jemputan yang lain.
REPLIKA CEK: Shafie menyampaikan replika cek RM100,000 kepada Johnny Gilong wakil Majlis Gereja- Gereja Kota Belud (Kadamaian), disaksikan oleh Ewon dan para jemputan yang lain.

KOTA BELUD: Kerajaan menyampaikan sumbangan sebanyak RM100,000 kepada Majlis Gereja-Gereja Kota Belud Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian bagi membantu gereja-gereja yang memerlukan bantuan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian Datuk Ewon Benedick berkata, sumbangan itu adalah tanda keprihatinan kerajaan terhadap semua lapisan masyarakat termasuk keperluan gereja-gereja di seluruh Sabah.

“Sesungguhnya ini sangat bermanfaat kepada rakyat Sabah, termasuk di kawasan Kadamaian di mana rumah-rumah ibadat di sini masih memerlukan banyak pembelaan.

“Hari ini kita menyampaikan mok cek kepada Majlis Gereja-Gereja Kota Belud (DUN Kadamaian) sebanyak RM100,000 daripada Program Sentuhan Kasih bagi melaksanakan aktiviti-aktiviti kebajikan, keperluan kecil pentadbiran dan pembangunan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Rumah Terbuka Krismas dan Tahun Baharu Kadamaian serta Perasmian Kadamaian Square dan Pelancaran Pelan Induk Pembangunan Kadamaian 2020-2035, yang dirasmikan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal, di Dewan Terbuka Kadamaian Square, di sini, kelmarin.

Ewon berkata, Ketua Menteri sentiasa terbuka mendengar pandangan-pandangan dan cadangan-cadangan daripada menteri-menteri yang beragama Kristian dalam Kabinet Sabah termasuk melaksanakan semula cuti dua hari sempena Krismas.

“Bermula bulan lepas, masyarakat Kristian di seluruh Sabah sudah boleh menunaikan ibadah agama dengan lebih baik apabila 24 dan 25 Disember diisytiharkan sebagai cuti umum bermula tahun 2019,” katanya.

Beliau berkata, bukan itu sahaja tetapi kerajaan turut menambah peruntukan bantuan khas kepada badan-badan keagamaan bukan Islam, sekolah-sekolah mubaligh dan sekolah-sekolah persendirian bukan Islam sebanyak RM8 juta iaitu daripada RM35 juta pada 2019 kepada RM43 juta pada tahun 2020.

Mengenai sambutan itu, Ewon berharap ia dapat memperkasakan lagi ikatan kerjasama, perpaduan, persahabatan dan persaudaraan dalam keluarga besar di negeri ini.

“Saya berbangga menjadi sebahagian daripada pasukan pimpinan Sabah Datuk Shafie Apdal. Beliau sentiasa mengatakan bahawa beliau adalah Ketua Menteri kepada semua rakyat Sabah yang terdiri daripada rakyat berbilang kaum, agama, bahasa dan budaya,” katanya.

Mengenai Dewan Kadamaian Square, Ewon berkata, atas keprihatinan Ketua Menteri sejumlah RM1 juta telah disalurkan untuk pembangunan fasa pertama Tamu Taginambur, iaitu membina Dewan Taginambur, menaiktaraf jalan masuk kawasan tamu, membina kemudahan tandas yang lebih baik dan kemudahan-kemudahan lain di dewan itu.

“Rakyat Kadamaian sangat menghargai sumbangan besar ini yang telah menukar wajah Tamu Taginambur dan memberikan keselesaan kepada para pengguna.

“Inilah antara sumbangan Kerajaan Sabah hari ini kepada rakyat Kadamaian walaupun baru berusia 1 tahun 7 bulan menjadi pemerintah. Mewakili masyarakat Kadamaian, saya ingin mengucapkan jutaan penghargaan dan terima kasih kepada Ketua Menteri,” katanya.

Ewon berkata, kemudahan itu pastinya akan memberi banyak manfaat kepada rakyat Kadamaian termasuk penganjuran majlis seperti ini, program-program sekolah, kebudayaan, keagamaan dan majlis-majlis kahwin.

“Saya juga akan mencari jalan bagaimana rakyat Kadamaian boleh menggunakan kemudahan ini secara percuma dengan menggunakan peruntukan 'touchpoints' ADUN untuk membayar sewa kepada Majlis Daerah Kota Belud bagi program-program yang dianjurkan oleh sekolah-sekolah, gereja-gereja dan badan-badan keagamaan dari Kadamaian, persatuan atau pasangan yang berkahwin daripada Kadamaian,” katanya.

Turut hadir dua Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Madius Tangau dan Datuk Christina Liew, Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan iklim Isnaraissah Munirah Majilis, Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Rasinin Koutis dan Hj Dumi Pg.Hj Masdal serta para pemimpin tempatan.

Advertisement