Anda di sini

Patrick Stewart kembali lagi ke dunia ‘Star Trek’ sebagai Kapten Picard

Advertisement
 

DIA berjanji tidak akan kembali tetapi Patrick Stewart kembali memakai spandeks untuk satu lagi kisah antara galaksi sebagai Kapten Jean-Luc Picard dalam siri baharu ‘Star Trek’ yang akan menemui peminat pada minggu ini.

Selepas dia mengucapkan selamat jalan kepada waktu yang menjadikannya masyhur pada peringkat antarabangsa, pelakon Shakespeare dari England itu, yang akan berusia 80 tahun pada tahun ini, tertarik untuk kembali ke dalam alam semesta Trekkie oleh gambaran yang sama sekali baharu mengenai Picard.

“Ia sudah 17 tahun sejak saya kata ‘au revoir’ kepada Jean-Luc,” kata Stewart kepada AFP dalam satu lawatan ke Paris, dan sesuku abad sejak siri terakhir ‘Star Trek: The Next Generation’ tamat.

“Ia adalah niat saya sebenarnya bukan sahaja untuk tidak kembali ke dunia itu, tetapi untuk mengandaikan bahawa segalanya yang dapat disebut sudah disebut – bahawa tiada lagi yang perlu disebut lagi,” tambahnya.

Itu ialah sebelum Stewart mula bercakap dengan Alex Kurtzman, pencipta ‘Star Trek: Picard’ dan penulis lakon layar Michael Chabon, yang mahu membawa komander itu ke tempat yang tidak pernah dilawatinya sebelum ini.

Chabon membawa prestij tertentu kepada projek itu sebagai seorang penulis novel yang pernah memenangi Hadiah Pulitzer – tetapi dia juga seorang peminat Star Trek sejak sekian lama.

“Saya mendapati mereka ada idea yang tidak dijangkakan dan kami berada di dunia yang berlainan daripada dunia yang dicipta oleh ‘The Next Generation’,” kata Stewart yang dilahirkan di Yorkshire dan menjadi ‘knight’ pada 2010.

“Ia rasa seperti permulaan baharu kerana Picard berada dalam situasi yang berlainan sama sekali daripada situasi yang kita lihat dalam empat buah filem dan 178 episod pada masa lalu” dalam siri televisyen popular di mana dia muncul.

Contohnya, laksamana kapal bintang yang sudah bersara itu, yang pernah mempamerkan ketenangan dan kuasa, akan tergoncang dengan tulen dalam siri baharu, yang akan ditayangkan bermula 23 Januari di CBS dan Amazon Prime.

Picard yang semakin menua sudah hilang pertimbangan, dikejutkan oleh kematian androidnya, Data, yang merupakan tonggak bagi para pegawai Starfleet.

“Terdapat satu atau dua watak yang mempunyai sejarah bersama ‘Star Trek’ ( dalam siri baharu) tetapi dunia di sekeliling mereka diubah – ia bukan dunia yang sama,” kata Stewart, yang kali terakhir muncul di atas Starship Enterprise dalam filem pada 2002 ‘Nemesis’.

Namun dia dipanggil balik untuk beraksi bagi membantu Dahj, seorang wanita muda yang mengalami masalah.

Siri baharu itu juga menyaksikan Picard kembali kepada asal usul Gallicnya apabila tamadun Perancis seakan-akan berada di ambang kepupusan.

Dengan beberapa adegan yang dibuat dalam sebuah kebun anggur, Picard malah berpeluang untuk bercakap dalam bahasa ibundanya di atas skrin.

“Kita cuba mencipta dunia yang sebanyak mungkin Perancis,” kata Stewart kepada AFP.

Picard disokong dalam siri baharu oleh Raffi Musiker, seorang genius penggodaman yang tiada taranya dan penyiasat lakonan Michelle Hurd yang diganggu oleh sejarahnya dan hubungan silamnya yang agak rumit dengan kapten itu.

“Saya rasa dia mewakili ramai orang, wanita terluka yang mungkin dihantui pilihan dan keputusan yang mereka buat,” kata Hurd kepada AFP.

“Dia hanya cuba bangun pada sebelah pagi dan berdepan dengan hari itu.

“Dia benar, benar menjalankan tugasnya dengan bagus. Kadang-kadang saya rasa kemahirannya mungkin perkara yang menarik perhatiannya daripada perkara yang menghantuinya,” tambahnya.

Satu lagi watak wanita utama dalam siri itu adalah Dahj, lakonan aktres kelahiran Britain, Isa Briones.

“Dahj menggerakkan segalanya, mendorong Picard untuk misi baharu,” katanya.

Walaupun dia bukan “peminat besar” siri asal, Briones berkata dia selama ini mengagumi nilai dan kepelbagaiannya.

“Saya suka berkata ia adalah tanggungjawab kita yang indah. Orang begitu mengambil berat tentang siri ini. Ia telah membantu mereka mencari orang yang bercakap sama seperti mereka.”

Seperti kebiasaannya dengan sains fiksyen, Briones berkata “jalan cerita mencerminkan kejadian semasa”.

“Kita akan menceritakan kisah yang ada kaitan dengan masa sekarang, tetapi anda mungkin tidak melihatnya seperti itu hingga di hujung,” kata Hurd sambil mengusik.

“Kami tidak memberi ajaran tetapi kami menerangi dilema manusia,” tambahnya. — AFP

Advertisement