Anda di sini

Murid di Sabah dan Sarawak nikmati manfaat program penambahbaikan RMT

Advertisement
 
Gambar fail Bernama
Gambar fail Bernama

KUALA LUMPUR: Murid-murid di Sabah dan Sarawak turut tidak ketinggalan dalam menerima manfaat Program Penambahbaikan Rancangan Makanan Tambahan (PPRMT) yang bermula hari ini.

Penambahbaikan yang dilakukan kepada program RMT itu antara lain mengubah waktu pelaksanaan serta meningkatkan jumlah penerima, dengan mengambil kira murid dalam kategori miskin dan bukan sahaja miskin tegar, selain penerima sedia ada seperti murid kurang upaya (OKU) dan murid di Sekolah Orang Asli/Penan.

Inisiatif yang dilakukan Kementerian Pendidikan itu turut mendapat maklum balas positif, apabila ada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang turut menyumbang dan memastikan semua murid di sekolah berkenaan turut menikmati hidangan RMT.

Di SARAWAK, Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak, Dr Azhar Ahmad berkata seramai 2,704 murid terpilih dari 10 sekolah terlibat dalam program sama.

Sekolah yang terlibat adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Tambirat, SK Penghulu Imban, SK Long Lapok, SK Spoah, SK Tuanku Bagus, SK Koran, SK Abg Haji Matahir, SK Kampung Seberang, SK Abang Leman, dan Sekolah Kebangsaan Jenis Cina Chung Hua, Sungai Moyan.

Katanya di SK Tambirat, Samarahan, PIBG sekolah itu mengambil peluang dengan memberikan sarapan percuma kepada semua murid tidak kira sama ada yang layak atau tidak.

“Walaupun sejumlah 303 pelajar sahaja yang layak, namun atas inisiatif PIBG, semua pelajar dapat menikmati sarapan percuma, bagi mengalakkan murid-murid bersarapan pagi,” katanya.

Di SABAH, Pengarah Jabatan Pendidikan negeri Dr Mistirine Radin berkata seramai 5,423 murid di 13 sekolah rendah di negeri berkenaan, menerima manfaat daripada program berkenaan.

Katanya sekolah yang terlibat adalah SK Kebagu, SK Kulambai, SK Tandek, SK ST James (M), SK Pinggan-Pinggan, SK Binsulok, SK Kundasang, SK Penangah, SK Bukit Garam, SK Kabogan, SK Umas-Umas, SK Nambayan dan SK Pekan Nabawan.

Di bawah inisiatif program makanan tambahan ini, sejumlah 517,000 murid kini memperoleh manfaat dan menikmati dengan lebih 20 menu berkhasiat berkonsepkan Grab ‘n’ Go, yang disediakan pihak kantin sekolah, murid daripada golongan sasar dapat menikmati hidangan tersebut sebelum, bermula sesi pembelajaran di dalam kelas.

Melalui pelaksanaan program ini, murid-murid diberikan pendidikan kesihatan dengan mengamalkan pengambilan sarapan, gaya hidup sihat yang membantu merangsang proses tumbesaran mereka, di peringkat umur awal persekolahan. - Bernama 

Advertisement